
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang sekitar 4.5% pada H2 2022, berbanding 5% pada suku pertama (Q1) dan anggaran 8% pada suku kedua (Q2).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Afzanizam Abdul Rashid berkata, ekonomi dijangka berkembang kira-kira 5.5% tahun ke tahun.
Katanya, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) menjadi barometer berguna untuk mengukur prestasi ekonomi keseluruhan negara.
Bulan lepas, PMI S&P Global Malaysia Manufacturing yang diselaras secara bermusim dilaporkan jatuh daripada 51.6 pada April kepada 50.1 pada Mei.
“Walaupun trend PMI menurun, momentumnya kelihatan semakin lemah,” kata Afzanizam kepada FMT.
“Namun, apa yang paling penting adalah kita masih berada dalam wilayah positif.”
Tambahnya, gangguan rantaian bekalan berterusan, terutamanya disebabkan oleh sekatan di China, ditambah dengan kenaikan harga komoditi dan inflasi domestik, telah menyekat pertumbuhan.
“Perkara ini akan membawa impak negatif bagi prestasi suku ketiga kita, bagaimanapun, kita mungkin masih dapat menyaksikan pertumbuhan,” katanya.
“Menjelang suku keempat (Q4) 2022 dan Q1 2023, kami menjangkakan KDNK kekal dalam wilayah positif, tetapi mungkin kekurangan momentum.”
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Carmelo Ferlito mengingatkan agar tumpuan tidak terlalu diletakkan pada keperluan meningkatkan KDNK.
Pertumbuhan positif Malaysia pada 2021 terutamanya didorong oleh perbelanjaan kerajaan dan penggunaan swasta, yang mewujudkan lebih banyak hutang kerajaan dan swasta, menjurus kepada inflasi, katanya.
Pertumbuhan sedemikian adalah tidak mampan, katanya, sambil menambah, mempertimbangkan semua faktor, beliau akan berpuas hati dengan pengurangan perbelanjaan kerajaan walaupun ia akan mengakibatkan pertumbuhan negatif.
Tambahnya, elemen utama untuk pertumbuhan mampan ialah simpanan dan pelaburan swasta, tetapi beliau tidak melihat trend meningkat dalam kedua-duanya.
“Kerajaan terus berbelanja, bermakna akan wujud lebih banyak hutang dan inflasi,” katanya sambil menambah, ini akan merisikokan negara.
Ferlito menjangkakan KDNK negara akan jatuh pada Q2 2022.
“(Perkara) ini tidak dapat dielakkan disebabkan kegagalan kerajaan melaksanakan inisiatif yang mencukupi untuk menangani inflasi,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, ekonomi berkembang 5% pada Q1 2022, meningkat daripada 3.6% pada Q4 2021, mengatasi konsensus pasaran kenaikan 4%.
Laporannya menambah, prestasi ekonomi negara disokong oleh peningkatan permintaan domestik apabila aktiviti ekonomi terus pulih berikutan pelonggaran sekatan Covid-19.
Pada Mei, Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, negara berada di landasan yang betul untuk mencapai pertumbuhan KDNK antara 5.3% dan 6.3% bagi 2022.
Inflasi diunjurkan mencapai purata antara 2.2% dan 3.2% (berbanding 2.5% pada 2021), yang terendah di Asean, sejajar dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 3.0%.