
Menurut peguam bersama Rahmat Mohamed Hazlan, Shafee sedang bercuti sakit akibat laringitis, jangkitan pada peti suaranya.
Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, yang dipanggil sebagai saksi, akan meneruskan keterangannya pada tarikh pendengaran berikut.
Minggu lalu, mahkamah membenarkan pihak pendakwaan memanggil Arul Kanda untuk memberi keterangan bagi pihaknya. Dia tetap didakwa bersubahat bersama Najib.
Najib sedang dibicarakan atas dakwaan penyalahgunaan kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan ketika itu untuk mendapatkan kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menyebabkan laporan akhir audit 1MDB dipinda sebelum dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Minggu lalu, Arul Kanda memberitahu mahkamah, Najib pada 23 Feb 2016 memberitahunya, beliau bimbang laporan audit 1MDB akan “diputar belit” dari perspektif politik sehingga menjejaskan dirinya.
Katanya, itulah sebabnya Najib mengarahkannya menghadiri mesyuarat pada 24 Feb 2016 bagi membincangkan pindaan laporan itu.
Mahkamah diberitahu bahawa bekas ketua audit negara, Ambrin Buang dan pegawai Jabatan Audit Negara menjalankan audit ke atas 1MDB dari 9 Mac 2015 hingga 4 Mac 2016.
Mereka sepatutnya membentangkan penemuan itu kepada PAC pada 24 Feb 2016, tetapi pertemuan dengan ahli PAC tidak berlaku.
Sebaliknya, Ambrin dan beberapa pegawai diarahkan menghadiri mesyuarat di pejabat ketua setiausaha kerajaan ketika itu, Ali Hamsa, pada hari sama.
Individu lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah Arul Kanda, Setiausaha Sulit Utama Najib ketika itu, Shukry Mohd Salleh, pegawai kanan Perbendaharaan dan pegawai dari Jabatan Peguam Negara.
Selepas mesyuarat itu, empat perkara dikeluarkan daripada laporan itu. Ini melibatkan dua penyata kewangan 2014, penerbitan nota jangka sederhana Islam, pelanggan sekunder bon Islam dan kehadiran Low Taek Jho (Jho Low) dalam mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.
Arul Kanda juga memberitahu mahkamah, dia menghadiri satu “mesyuarat luar biasa” di rumah pegawai khas Najib ketika itu untuk menjelaskan kedudukan syarikat terbabit dan laporan auditnya.