Keputusan ketua Wanita PKR berubah, Rodziah tuntut penjelasan JPP

Keputusan ketua Wanita PKR berubah, Rodziah tuntut penjelasan JPP

Rodziah Ismail mengakui terkejut selepas audit forensik dilakukan beliau tewas kepada Fadhlina Sidek dengan majoriti 32 undi.

Calon ketua Wanita PKR Rodziah Ismail mahu mendapatkan penjelasan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung perubahan keputusan yang memihak pencabarnya, Fadhlina Sidek. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
ADUN Batu Tiga Rodziah Ismail menuntut penjelasan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berkaitan perubahan keputusan jawatan ketua Wanita PKR yang memihak kepada pencabarnya, Fadhlina Sidek.

“Saya sedang menyiapkan surat mohon penjelasan perkara ini (daripada JPP),” katanya kepada FMT.

Rodziah berkata demikian susulan pengumuman JPP selepas melakukan audit forensik menyaksikan jawatan ketua Wanita pusat yang sebelum ini dimenanginya,  berpihak kepada Fadhlina.

Terdahulu, JPP dalam kenyataan berkata hanya sedikit perubahan dalam keputusan pemilihan serta terdapat percubaan menggodam keputusan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam keputusan disiarkan di laman sesawang pemilihan PKR, menyaksikan Fadhlina mengatasi Rodziah dengan majoriti 32 undi.

Ketika diminta mengulas lanjut, Rodziah mengakui terkejut dengan keputusan berkenaan kerana beliau tidak dimaklumkan mengapa undi itu berubah.

“Kena tanya JPP, Dr Zaliha (Mustafa) sebab saya sendiri terkejut dengan keputusan ini. Sebab keputusan ini tidak dimaklumkan tentang kenapa undi yang diperoleh bertukar.

“Saya selaku calon tidak diberikan penjelasan. Jadi, saya tak dapat nak komen lebih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.