Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan naik 10%

Kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan naik 10%

Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 10% pada minggu epidemiologi ke-26.

Kes positif Covid-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara, dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu telah meningkat sebanyak 28.5%, menurut KKM. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 10% pada minggu epidemiologi (ME) ke-26, yang bermula dari 26 Jun hingga 2 Julai 2022 berbanding ME ke-25.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 22% dari ME pertama sehingga ME ke-26.

“Jumlah kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk pada ME ke-26 berbanding ME ke-25 meningkat sebanyak 31% manakala untuk kategori tiga, empat, dan lima meningkat sebanyak 13%.

“Peratus pengisian katil bukan kritikal fasiliti Covid-19 meningkat sebanyak 4% pada ME ke-26 berbanding ME-25, manakala peratus pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) pula meningkat sebanyak 2%.

“Bagi katil Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat sebanyak 1%, manakala jumlah kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.2% setakat ME ke-26,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata kes-kes positif Covid-19 masih dipantau melalui Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara, dengan bilangan kedatangan pesakit ke pusat itu telah meningkat sebanyak 28.5% antara ME ke-25 dan ME-26.

“Bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 22.9%. Bilangan kes dirujuk CAC ke PKRC menurun sebanyak 93.8% manakala untuk hospital pula meningkat sebanyak 50%,” katanya.

Katanya, kumulatif kes baharu adalah sebanyak 4,571,355 kes dengan kes aktif sebanyak 43,203 kes dicatat setakat 2 Julai, dengan kumulatif kes sembuh sebanyak 4,505,200 kes dan kes kematian sebanyak 35,771 kes.

“Kumulatif kes kluster setakat ini ialah sebanyak 7,023 dengan kluster aktif sebanyak 10 kluster dilaporkan setakat 2 Julai,” katanya.

Hisham berkata bilangan kes sembuh pada ME ke-26 ialah 14,293 kes berbanding 14,078 kes pada ME ke-25 iaitu meningkat sebanyak 1.5% manakala kes baharu pada ME ke-26 pula ialah 16,694 kes berbanding 15,739 kes pada ME ke-25, meningkat sebanyak 6.1%.

Katanya, bilangan kes tempatan dalam tempoh berkenaan pula meningkat sebanyak 9.5% iaitu dari 15,201 kes kepada 16,650 kes, bilangan kes import menurun sebanyak 91.8% iaitu 538 kes kepada 44 kes serta bilangan kes kematian meningkat sebanyak 100% iaitu 13 kes kepada 26 kes.

“Bilangan kes aktif pada ME ke-26 berbanding ME ke-25 meningkat sebanyak 3.4%, serta purata nilai RT menurun sebanyak 0.9% pada tempoh yang sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.