Hina polis ‘bodoh’, pertikai undang-undang, Lokman jawab notis tunjuk sebab Jumaat ini

Hina polis ‘bodoh’, pertikai undang-undang, Lokman jawab notis tunjuk sebab Jumaat ini

Hakim berkata, penjelasan tindakan itu sepatutnya dilakukan hari ini, namun ditangguhkan kerana peguam mewakili Lokman Noor Adam hanya boleh hadir ke mahkamah pada Jumaat ini.

Lokman Noor Adam dikenakan notis tunjuk sebab kerana didakwa menghina anggota polis dengan menggelarnya ‘bodoh’ dan mempersoalkan undang-undang ketika hadir di bilik mahkamah untuk mengikuti perbicaraan rasuah Ahmad Zahid Hamidi.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan Jumaat ini untuk bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam menjawab notis tunjuk sebab atas tindakannya menghalang penjawat awam dan mendakwa sistem perundangan negara tidak adil.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, ia sepatutnya dilakukan hari ini, namun ditangguhkan kerana peguam Lokman hanya boleh hadir ke mahkamah pada hari itu.

“Mahkamah menghargai bantuan (peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid Hamidi) dalam hal ini. Lokman perlukan peguam, maka mahkamah tiada alternatif lain untuk membawa kes ini pada Jumaat ini.

“Beritahu kepada Lokman supaya pastikan peguamnya hadir. Kes beliau Jumaat ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Khamis lalu, media melaporkan Lokman dikenakan notis tunjuk sebab kerana didakwa menghina anggota polis dengan menggelarnya “bodoh” dan mempersoalkan undang-undang ketika hadir di mahkamah untuk mengikuti perbicaraan rasuah Zahid.

Timbalan Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran membangkitkan perkara itu kepada Sequerah selepas mahkamah berehat seketika.

“Seorang orang awam bertindak balas apabila seorang anggota polis memintanya supaya tidak ‘bermain’ dengan telefon bimbitnya. Dia memanggil polis itu ‘bodoh’,” kata Raja Rozela sambil menambah individu terbabit turut menyatakan “undang-undang ini tidak adil”.

Sequerah bertanya sama ada individu terbabit masih berada dalam mahkamah dan Lokman, yang berada di galeri awam berdiri dan memaklumkan beliau sedang “menaip” di telefon bimbitnya.

Sequerah kemudiannya mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.