Axelsen dalam kelas tersendiri, rangkul gelaran sulung Terbuka Malaysia

Axelsen dalam kelas tersendiri, rangkul gelaran sulung Terbuka Malaysia

Axelsen menumpaskan pemain Jepun, Kento Momota dalam straight set 21-4, 21-7 untuk melakarkan gelaran hatrik dalam tempoh sebulan selepas Terbuka dan Masters Indonesia.

Viktor Axelsen menjuarai perlawanan akhir perseorangan lelaki Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 selepas mengalahkan pemain Jepun Kento Momota di Axiata Arena, Bukit Jalil, semalam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemain Denmark Viktor Axelsen nyata berada pada kelas tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran sulung Terbuka Malaysia 2022 selepas dengan mudah menewaskan pemain Jepun, Kento Momota, pada final perseorangan lelaki, semalam.

Axelsen membuktikan statusnya sebagai pemain nombor satu dunia dan juara Olimpik Tokyo 2020 dengan menumpaskan Momota dalam straight set 21-4, 21-7 untuk melakarkan gelaran hatrik dalam tempoh sebulan selepas Terbuka dan Masters Indonesia.

Kejayaan pemain berusia 28 tahun itu turut menamatkan dominasi kejuaraan pemain Asia selama 15 tahun selepas rakan senegara, Peter Gade muncul juara pada 2007.

Pada aksi final dengan kebanjiran 10,000 penonton di Axiata Arena Bukit Jalil, Momota jelas tiada tandingan kepada aksi cemerlang oleh Axelsen yang masih belum memutuskan penyertaan pada saingan Masters Malaysia di tempat sama, bermula esok.

Kejayaan gelaran sulung itu membolehkan Axelsen membawa pulang hadiah wang tunai USD$47,250 (kira-kira RM208,000) manakala Momota menerima USD$22,950 (kira-kira RM101,000).

Legenda badminton negara Lee Chong Wei menyampaikan hadiah tersebut.

Sementara itu, pada final perseorangan wanita, pemain Thailand, Ratchanok Intanon merangkul kejuaraan kali kedua selepas 2016 apabila mengejutkan juara Olimpik Tokyo 2020, Chen Yu Fei dari China.

Ratchanok, 27, berjaya menamatkan kemarau kejuaraan selepas Masters Indonesia pada 2020 untuk mengatasi Yu Fei, 21-15, 13-21, 21-16, dalam saingan lebih sejam.

Pertemuan dengan lawannya berusia 24 tahun itu adalah kali ke-18 dengan rekod kemenangan memihak kepada pemain China itu, 15-3.

Kedua-dua pemain itu akan menggalas cabaran pada Masters Malaysia nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.