25 Ogos pengesahan lafaz cerai MB Perlis

25 Ogos pengesahan lafaz cerai MB Perlis

Prosiding ditetapkan pada Ogos akan menentukan sama ada berlaku lafaz talak atau tidak iaitu pengesahan lafaz cerai yang difailkan bulan lalu.

Peguam syarie mewakili Azlan Man juga memohon mahkamah agar prosiding dapat dijalankan secara tertutup kerana bimbang berlaku salah faham masyarakat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Prosiding lafaz cerai Menteri Besar Perlis Azlan Man terhadap isterinya, Sova Ali, ditetapkan pada 25 Ogos oleh Mahkamah Rendah Syariah Bangi.

Hakim Syarie Abdullah Zuhdee Ab Halim menetapkan tarikh itu selepas peguam syarie, Nurul Atikah Abd Rashid yang mewakili Azlan selaku defendan, memaklumkan bahawa anak guamnya, tidak hadir kerana mempunyai urusan kerja yang tidak dapat dielakkan.

Selepas dimaklumkan perkara itu, Abdullah Zuhdee berkata, mahkamah tidak dapat mengambil kenyataan lisan sama ada defendan bersetuju atau tidak dengan kenyataan plaintif, yang mana mahkamah perlu mendengarnya daripada kedua-dua belah pihak.

Peguam syarie, Muhammad Syafiq Ibrahim yang mewakili Sova selaku plaintif pula, berkata pihaknya sudah cuba membuat serahan saman berkenaan, namun tidak berjaya selain gagal menghubungi defendan, lapor Kosmo.

Sejurus selepas prosiding, Syafiq ketika ditemui berkata, prosiding ditetapkan pada Ogos akan menentukan sama ada berlaku lafaz talak atau tidak iaitu pengesahan lafaz cerai yang difailkan bulan lalu itu dibuat mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Sementara itu, Atikah berkata, dia hanya menerima dokumen tersebut melalui pembantu beliau dan maklum berkaitan tarikh kes, pada hari ini.

Menurutnya, pihak peguam maklum mengenai perkara itu selepas dilantik sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Shah Alam, pada 1 Jul.

Dalam pada itu, beliau turut memohon kepada mahkamah agar prosiding bulan depan, dapat dijalankan secara tertutup kerana bimbang berlaku salah faham masyarakat sehingga boleh menjejaskan reputasi yang mana anak guamnya seorang Menteri Besar.

Namun kata peguam itu, keputusan permohonan itu akan dimaklumkan sebelum perbicaraan bermula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.