2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

Menurut bomba, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal tercampak ke dalam semak.

Seorang kanak-kanak lelaki Orang Asli dan bapanya maut selepas dipercayai tercampak ke dalam semak apabila motosikal dinaiki bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands.
IPOH:
Seorang kanak-kanak dan bapanya maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata kanak-kanak itu yang dianggarkan berusia 12 tahun dan bapanya, 62, dipercayai berketurunan Orang Asli, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Empat individu lain termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Toyota Alphard hanya mengalami kecederaan, katanya.

“Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menerima panggilan pada pukul 10.45 pagi dan anggota bomba mendapati kedua-dua kenderaan itu bertembung dalam kemalangan itu sehingga mengakibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal tercampak ke dalam semak,” katanya.

Katanya kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 11.50 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.