12 sektor sempadan darat negeri belum muktamad perjanjian, kata menteri

12 sektor sempadan darat negeri belum muktamad perjanjian, kata menteri

Menteri tenaga dan sumber asli berkata sektor tersebut ialah Pahang-Kelantan melibatkan jajaran sepanjang 272.7km, Perak-Selangor (217.5km) dan Johor-Pahang (176.4km).

Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan Ismail Ahmad menyaksikan upacara menandatangani perjanjian darat antara Selangor dan Negeri Sembilan disempurnakan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Terdapat 12 sektor sempadan darat masih belum memuktamadkan perjanjian sempadan antara dua negeri, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian sempadan darat antara Selangor dan Negeri Sembilan, beliau berkata, antara sektor tersebut ialah Pahang-Kelantan melibatkan jajaran sepanjang 272.7km, Perak-Selangor (217.5km) dan Johor-Pahang (176.4km).

“Melalui penentuan sempadan yang jelas, kerajaan negeri akan dapat merancang dan melaksanakan projek pembangunan di kawasan sempadan dengan lebih teratur,” katanya kerja penandaan dan pengukuran sempadan darat diuruskan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Beliau berkata, melalui penentuan sempadan yang jelas juga, aktiviti penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat dijalankan dengan berkesan terutama dalam mencegah aktiviti pencerobohan tanah dan penerokaan sumber secara tidak sah.

“Banyak perkara tidak selesai sekiranya sempadan tidak dimuktamadkan, contohnya penguatkuasaan PBT dan perancangan pembangunan tidak selesai,” katanya.

Mengenai sempadan Selangor dan Negeri Sembilan, Takiyuddin berkata, ia meliputi jajaran sempadan darat dan sungai, bermula dari titik pertemuan sempadan antara tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang serta berakhir di muara Sungai Sepang melibatkan jajaran sepanjang 111.9km.

Menurutnya, Jupem memulakan kerja penandaan dan pengukuran sempadan Selangor-Negeri Sembilan pada 5 Mei 2016 dan siap pada 17 Mac 2018.

Pada majlis itu, Takiyuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan Ismail Ahmad menyaksikan upacara menandatangani perjanjian darat antara Selangor dan Negeri Sembilan yang disempurnakan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Haris Kasim.

Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun difahamkan tidak dapat hadir atas faktor kesihatan.

Sementara itu, Amirudin berkata, penandaan dan pengukuran sempadan antara kedua-dua negeri itu adalah berdasarkan Selangor Government Gazette bertarikh 5 Nov 1909 dan Boundary Agreement Between Selangor and Sungei Ujong yang ditandatangani pada 10 Feb 1878.

“Kedua-kedua kerajaan negeri komited memastikan pemeteraian perjanjian sempadan darat ini dilaksanakan, selain merupakan simbol kedaulatan dan tanda hubungan harmoni antara Selangor dan Negeri Sembilan bagi menyelesaikan sebarang isu untuk kepentingan bersama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.