
“Apa pun saya tetap setia dan sokong perdana menteri…biarlah orang kata apa pun, ada sesetengah yang kata macam-macam pada dia, kata beliau itu dan ini, lembik lah apa lah.
“Saya sendiri orang kata tidak relevanlah. Tak relevan dah 74 tahun kata saya tak relevan, yang mengata tu tak relevan atau saya tak relevan.
“Namun, dalam tempoh setahun macam-macam beliau (Ismail) dah buat untuk menangani Covid-19, itu kesihatan yang dijaga,” kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perak.
Tajuddin berkata, dalam keadaan “negara sedang huru-hara” dengan kenaikan harga barang yang membebankan rakyat, namun perdana menteri berusaha menanganinya dengan memberikan pelbagai bantuan.
“Huru-hara dengan kenaikan harga (barang) jangan membebankan tapi dalam masa setahun apa kesalahan dan kesilapan dilakukan PM?
“Mengapa dibuat macam-macam tuduhan terhadap dia seolah-olah dia tak layak jadi perdana menteri,” katanya.
Katanya, untuk itu beliau mahu Ismail terus meneraju negara dan dilantik semula sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Selaku wakil rakyat, selaku ketua bahagian. Selagi saya ketua bahagian atau tidak lagi jadi ketua bahagian di Pasir Salak, kita di Pasir Salak akan beri jaminan beri sokongan padu untuk PM,” katanya.
Tajuddin yang dilihat antara penyokong tegar Ismail digugurkan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid dilaporkan mengambil tindakan itu kerana tingkah laku Tajuddin sering mempersoalkan pendirian presiden dan MKT.
Pengguguran itu menyusul beberapa hari selepas mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Ismail melantik Tajuddin sebagai duta besar ke Indonesia.
Dalam pada itu, Tajuddin turut memberi amaran kepada pihak yang cuba “bermain api” dengannya kerana masih ramai yang akan menyokong.
“Jangan main-main dengan saya, saya boleh kumpul orang ribu-ribu, semua orang pun tahu. Saya pernah mengumpul orang Melayu melalui program Melayu Bangkit, Muafakat Nasional dan ICERD…itu semua kerja saya lawan tetap lawan,” katanya.