
Samsuri atau lebih dikenali Dr Sam berkata, keutamaan ketika ini untuk memperkukuhkan PN dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia.
“Yang pasti TSMY (Muhyiddin) juga bukan lagi calon PM,” katanya di Facebook.
Samsuri mengulas laporan media memetik kenyataan Muhyiddin yang beliau adalah pengerusi PN yang bukan jaminan menjadi calon perdana menteri.
Menurut Muhyiddin, soal calon perdana menteri tidak pernah dibincangkan dan pelantikan Samsuri sebagai pengerusi PN disebabkan PAS bertegas mahukannya.
Naib presiden PAS itu menggantikan Muhyiddin sebagai pengerusi PN yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.
Susulan pelantikannya, segelintir pihak antaranya Pemuda PAS mencadangkan menteri besar Terengganu itu diangkat sebagai calon perdana menteri mewakili PN pada PRU16.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, kemudian mengingatkan cadangan Samsuri sebagai calon perdana menteri perlu dibincangkan Majlis Tertinggi PN.
Katanya, langkah itu sebagai menghormati rakan komponen yang turut terdiri Gerakan dan MIPP.
Bersatu menerusi Perhimpunan Agung Tahunan September tahun lalu meluluskan usul Muhyiddin sebagai calon perdana menteri ke-11 daripada parti itu.
Ketika itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Sanusi Nor, menasihatkan Bersatu supaya tidak terlalu ‘ghairah bersendirian’ membuat keputusan politik penting atas nama PN, termasuk berkaitan calon perdana menteri.