‘Senjata makan tuan’, penyamun mati terkena sabit sendiri

‘Senjata makan tuan’, penyamun mati terkena sabit sendiri

Dipercayai libasan sabit terhadap mangsa yang mempertahankan diri menggunakan kerusi melantun mengenai paha kiri suspek sekali gus menyebabkan kematiannya.

Suspek berusia 50 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas jalan dengan sebilah sabit masih dalam genggaman tangan kanannya.
PETALING JAYA:
Seorang lelaki warga asing maut selepas dipercayai mengalami pendarahan teruk di paha akibat terkena sabit digunakannya dalam cubaan samun di sebuah premis di Taman Perindustrian Kepong, pagi tadi.

Dipercayai, libasan sabit suspek terhadap mangsa yang menggunakan kerusi bagi mempertahankan diri melantun mengenai paha kirinya.

Dalam kejadian kira-kira 8 pagi, suspek berusia 50 tahun ditemukan dalam keadaan tertiarap di atas jalan dengan sebilah sabit panjang masih dalam genggaman tangan kanannya.

Ketua Polis Gombak, Zainal Mohamed Mohamed, berkata siasatan mendapati suspek datang ke premis berkenaan dan berbual dengan mangsa dengan niat untuk menyamun, lalu menetak mangsa berulang kali.

“Mangsa telah mengambil kerusi plastik untuk mempertahankan diri. Senjata digunakan suspek telah terkena pada bahagian paha kirinya.

“Suspek terus berlari ke arah luar dan rebah di atas jalan pada jarak lebih kurang 36m dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau memaklumkan pegawai perubatan Hospital Sungai Buloh mengesahkan suspek meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan bagaimanapun meninggal dunia pada 12.15 tengah hari tadi.

Zainal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun kes dianggap selesai memandangkan mangsa dan suspek meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.