PH belum muktamad agihan kerusi majoriti Melayu ditinggal Bersatu

PH belum muktamad agihan kerusi majoriti Melayu ditinggal Bersatu

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata keputusan bagi kerusi lain juga akan dibincangkan bersama parti komponen PH seperti PKR dan DAP.

Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar berkata Pakatan Harapan ketika ini mempunyai sedikit-sebanyak kelebihan mengambil kira situasi perpecahan parti lawan.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) belum memuktamadkan pengagihan kerusi terutama kawasan majoriti Melayu yang ditinggalkan Bersatu, kata Naib Presiden Amanah Mahfuz Omar.

Katanya, keputusan bagi kerusi lain juga akan dibincangkan bersama parti komponen PH seperti PKR dan DAP.

“Kita dalam proses untuk pengagihan kerusi tersebut, sampai masanya kita akan umumkan berapa jumlah yang diperoleh oleh parti politik komponen. Untuk kerusi Bersatu yang ditinggalkan, kita akan bincang untuk membuat pengagihan dalam PH, belum dimuktamadkan lagi dan dalam proses.

“Buat masa sekarang kita belum sampai peringkat kerusi-kerusi yang majoriti Melayu (Bersatu) itu telah disepakati bahawa yang bertandingnya adalah Amanah dengan PKR,” katanya menurut laporan Astro Awani.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, PH ketika ini mempunyai sedikit- sebanyak kelebihan mengambil kira situasi perpecahan dalam parti lawan.

Bagaimanapun katanya, apa yang penting sekarang adalah kesedaran rakyat dalam menolak kepimpinan dan kelompok kleptokrat.

“Saya fikir begini, dari segi peluang ya memang saya akui (perpecahan dalam Umno) sedikit-sebanyak memberikan penyumbang untuk ke arah itu (kebangkitan PH). Tetapi bagi saya sekarang ini bukan soal peluang Amanah, PH menang dan sebagainya, tetapi peluang rakyat untuk dapat kesedaran,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz menganggap kerajaan sebagai “Pak Lawak” dan “melucukan” apabila melancarkan jihad berdepan inflasi, sedangkan kepimpinan negara sendiri bertindak menaikkan harga ayam.

Beliau berkata, kewujudan beberapa pasukan khas seperti Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) membuktikan kerajaan sudah buntu.

“Kita lihat kerajaan hari ini adalah kerajaan ‘Pak Lawak’. Dia (kerajaan) yang menaikkan harga ayam, dia juga yang nak melancarkan jihad untuk menghadapi inflasi.

“Dan salah satu daripada soal inflasi ini ialah kenaikan harga barang, jadi ini satu keadaan yang melucukan dalam negara kita dan dalam sejarah inilah kerajaan yang paling lemah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.