Lelaki maut, rakan parah kemalangan 3 kenderaan

Lelaki maut, rakan parah kemalangan 3 kenderaan

Lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penumpang hadapan maut ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia sedang membelok ke kanan jalan bertembung dengan kereta Honda City yang datang dari arah bertentangan. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas kereta Perodua Axia dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan dua lagi kenderaan dalam kejadian di Jalan Raja Uda, tengah malam tadi.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Mohd Radzi Ahmad, berkata lelaki berusia 29 tahun yang merupakan penumpang hadapan maut ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan rakannya berumur 20-an yang duduk di kerusi belakang dalam keadaan kritikal dirawat di hospital sama.

Katanya, pemandu kereta Perodua Axia iaitu seorang lelaki berusia 20-an mengalami cedera ringan dalam kemalangan pada 12.15 tengah malam itu.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia yang sedang membelok ke kanan jalan bertembung dengan kereta Honda City yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua Axia berpusing dan melanggar Perodua Alza yang sedang berhenti di tepi jalan di situ, kedua-dua lelaki yang memandu Honda City dan Perodua Axia mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Radzi berkata siasatan lanjut berhubung kemalangan itu masih dijalankan menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.