Bertindih fungsi, tapi pasukan khas jihad diyakini dapat tangani inflasi

Bertindih fungsi, tapi pasukan khas jihad diyakini dapat tangani inflasi

Pakar ekonomi berpendapat, anggota benar-benar relevan dalam pasukan itu mampu menangani isu kos sara hidup yang menghambat rakyat ketika ini.

Pakar ekonomi berkata, kelebihan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi adalah ahlinya terdiri daripada menteri yang paling relevan dalam menangani isu inflasi dan kos sara hidup.
PETALING JAYA:
Walaupun wujud pertindihan fungsi dan matlamat berhubung penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, namun pakar ekonomi yakin anggota benar-benar relevan mampu menangani isu kos sara hidup yang menghambat rakyat ketika ini.

Bagaimanapun, Ahmed Razman dari Universiti Putra Malaysia berkata, pasukan khas itu akan benar-benar berjaya, sekiranya karenah birokrasi yang menjadi dinding memisahkan agensi kerajaan dan pihak luar dapat dikurangkan.

“Saya setuju memang ada pertindihan fungsi dan matlamat pasukan khas ini dengan jawatankuasa khas yang ditubuhkan sebelum ini, cuma kelebihannya ialah ahlinya terdiri daripada menteri yang paling relevan dalam menangani isu inflasi dan kos sara hidup,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, penubuhan pasukan khas itu akan lebih berkesan sekiranya mereka berjaya mendapatkan maklum balas dan kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk Bank Negara serta bersedia menerima pandangan luar kotak untuk melaksanakan agenda menurunkan kos sara hidup rakyat.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa bagi membantu rakyat menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup.

Katanya, pasukan itu berperanan mengumpul semua maklumat dari kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu berkaitan inflasi, khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.

Seorang lagi pakar ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak menyifatkan penubuhan pasukan khas itu setaraf Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

“Perkataan ‘jihad’ yang terkandung dalam nama pasukan itu mempunyai makna jawatankuasa itu akan mencurahkan daya dan tenaga kekuatan untuk mencapai matlamat dalam menangani inflasi makanan di negara.”

Namun, katanya, keberkesanan pasukan itu bergantung kepada cara jawatankuasa berfungsi.

“Mereka bukan sahaja melakukan pemantauan, pada masa yang sama juga mengadakan ‘audit forensik’ bagi menangani isu kenaikan mendadak harga barang secara berkesan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.