Bekas peguam negara perjelas fail rayuan kes bunuh amah

Bekas peguam negara perjelas fail rayuan kes bunuh amah

Tommy Thomas berkata apabila kes mendapat perhatian masyarakat, beliau melihat perkara itu dan mengambil pendirian berbeza.

S Ambika, 62, dibebaskan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2019. Pihak pendakwaan merayu untuk menggantikan pembebasan itu kepada pembebasan bersyarat namun ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas peguam negara Tommy Thomas berkata perbezaan pendapat profesional menyebabkan beliau memfailkan rayuan terhadap pembebasan seorang warga emas yang dituduh membunuh pembantu rumah warga Indonesia.

Keputusan membebaskan S Ambika daripada pembunuhan Adelina Lisao, 29, mencetuskan minat mendalam masyarakat apabila keputusan itu dibuat walaupun pihak pendakwaan memohon Ambika diberikan pelepasan bersyarat.

Thomas berkata, beliau mengambil pandangan berbeza berbanding Peguam Cara Negara Hanafiah Zakaria.

Thomas dilaporkan berkata, pada 2019, beliau tidak diberi konsultasi berhubung keputusan memohon pelepasan bersyarat.

Katanya, hari ini, apabila kes itu menimbulkan minat mendalam masyarakat, beliau melihat perkara itu dan berkata, “saya mendapat kesimpulan berbeza”, berbanding pegawai pendakwaan yang menguruskan kes itu.

“Mengapa saya mengambil keputusan merayu? Itu menunjukkan kepada anda keistimewaan undang-undang, ada banyak budi bicara bagi peguam dan hakim. Jika anda bertanya kepada 10 peguam, anda akan mendapat 20 pandangan dan ia sukar untuk mengatakan siapa yang betul dan siapa yang salah. Kebanyakannya berupa penghakiman,” katanya dalam majlis pelancaran buku.

Selepas Ambika dibebaskan, rayuan difailkan atas arahan peguam negara berhubung pembebasan untuk digantikan kepada pelepasan bersyarat. Namun, rayuan di Mahkamah Rayuan gagal dan rayuan susulan kepada Mahkamah Persekutuan, bulan lalu, menyaksikan pembebasan dikekalkan.

Pada 25 Jun, bekas perdana menteri Najib Razak, mendesak Thomas menjelaskan mengapa pendakwaan memohon pelepasan bersyarat. Najib berkata, Mahkamah Persekutuan, menjelaskan pihak pendakwaan tidak memberi sebarang alasan di Mahkamah Rayuan ketika membuat permohonan pelepasan bersyarat.

Thomas ditanya hari ini, sama ada ada menerima tekanan dari Indonesia berhubung keputusan memfailkan rayuan. Katanya, tidak ada “sebarang tekanan daripada mana-mana pihak”.

Bulan lalu, Hanafiah berkata dalam wawancara bersama Malaysiakini, bahawa beliau sudah mengarahkan pegawai pendakwaan di Pulau Pinang memohon pelepasan bersyarat dan seterusnya mempertimbang pertuduhan lain yang boleh dikenakan terhadap ahli keluarga tertuduh.

Ditanya sama ada Thomas tidak diberi perincian berhubung cadangan memohon pelepasan bersyarat, Hanafiah berkata, Thomas tidak gembira kerana berdepan tindak balas dari Kedutaan Indonesia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.