
Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata ekonomi perlukan pelaburan jangka masa panjang dan perbelanjaan pembangunan kerana pelaburan awam dan swasta terjejas teruk dalam dua tahun kebelakangan ini.
Beliau menyarankan projek-projek yang sedang berjalan diteruskan.
“Tentukan nasib projek-projek mega berdasarkan status semasa. Saya setuju ia dihentikan sekiranya masih di peringkat membayar syarikat perunding dan peguam,” katanya kepada FMT.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mustapa Mohamed berkata jumlah subsidi terbesar dalam sejarah yang akan disalurkan tahun ini memberi kesan kepada kewangan negara.
Beliau berkata menangguhkan pelaksanaan projek mega akan memastikan kedudukan kewangan kekal kukuh, memandangkan keperluan meneruskan pemberian subsidi ekoran kenaikan kos sara hidup.
Willians bagaimanapun berkata menangguhkan projek mega berpotensi memberi kesan terhadap ekonomi, seperti kekurangan hasil dan peluang pekerjaan yang terhad.
“Pertama, kerajaan tidak akan dapat mengutip hasil secukupnya untuk menampung subsidi,” katanya.
“Kedua, pelaburan jangka masa panjang akan tertangguh. Maka pertumbuhan dan peluang pekerjaan juga tertahan.
“Ketiga, pelabur asing atau pembiaya yang terlibat dalam projek ini akan terkesan dan mereka mungkin akan alih perhatian kepada Indonesia, di mana pembangunan ibu negara baharu menawarkan peluang-peluang yang besar.”
Williams menggesa kerajaan menampung kos subsidi dengan keuntungan daripada Petronas dan syarikat-syarikat utiliti.
“Mengurangkan pembaziran dan ketirisan dalam perbelanjaan juga boleh membantu menampung subsidi,” katanya.