
Dalam kenyataan, persatuan itu berkata terdapat ladang eksport telah melaburkan kos tinggi untuk memenuhi keperluan ketat negara pengimport.
“Jika eksport dihentikan, ladang-ladang ini tidak akan dapat mengekalkan pengeluaran kos tinggi mereka di bawah situasi kawalan harga semasa. Kesan kawalan ke atas ladang eksport ialah kerugian dalam pelaburan serta kehilangan pekerjaaan kepada pekerja terlatih mereka,” katanya.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk menghentikan eksport 3.6 juta ayam selama sebulan bermula 1 Jun lalu.
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu adalah antara lima pendekatan segera jangka pendek diumumkan kerajaan dalam usaha mengatasi isu kekurangan bekalan bahan makanan berkenaan.
Dalam pada itu, persatuan penternak berkata, produk dari ladang eksport hanya dapat dikekalkan pada harga lebih tinggi, melebihi tahap subsidi.
Katanya, ladang berorientasikan eksport ini juga menggunakan buruh yang dilatih untuk beroperasi bawah prosedur operasi standard yang ketat.
Sementara itu, persatuan itu juga berkata, industri pengeluaran ayam dan telur berbangga kerana dapat mengekalkan harga terendah untuk produk ayam di rantau Asean.
“Pengekalan sekuriti makanan adalah salah satu sumbangan terpenting kepada negara di mana industri ayam dan telur terus mengusahakan penternakan untuk penghasilan protein (ayam daging dan telur) termurah dan mencukupi untuk negara.
“Pengeluaran yang melebihi tahap kemampanan akan menyumbang kepada penukaran asing dengan eksport yang berkualiti,” katanya.
Katanya lagi, industri pengeluaran ayam dan telur memberi jaminan kepada kerajaan bahawa ladang akan mematuhi harga-ladang yang diumumkan di bawah harga siling maksimum yang ditentukan oleh kerajaan.
Katanya, di bawah keadaan iklim dan kawalan biosekuriti semasa yang menggalakkan, industri pengeluaran ayam boleh memberi jaminan bahawa bekalan ayam pedaging dan telur adalah mencukupi untuk memenuhi permintaan tempatan.