
Pengerusi persatuan kebajikan dan penduduk, Mohd Yusoof Yahya, berkata pemilik dan pewaris rumah pangsa tersebut berhak menentukan pemaju yang akan membangunkan semula kawasan itu berdasarkan tawaran terbaik.
“Kalau pemilik dan pewaris tak setuju dengan tawaran pemaju, macam mana nak ambil alih tempat itu? Sudah tentu kami ada kuasa melainkan pemaju main kotor,” katanya kepada FMT.
Yusoof mengulas kenyataan Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB) bahawa projek pembangunan semula bernilai RM1.2 bilion akan diteruskan memandangkan mereka telah mendapat 80% persetujuan daripada majoriti penduduk.
MRSB dalam kenyataan semalam menjelaskan projek pembangunan semula itu akan dilaksanakan oleh syarikat usaha samanya dengan Jiankun International Bhd dan Menara Rezeki Properties Sdn Bhd.
Yusoff mendakwa angka yang dikatakan MRSB itu hanya berdasarkan tinjauan yang dilakukan ketika pertemuan bersama penduduk empat bulan lalu di Keramat Mall, dalam keadaan pemilik dan pewaris belum menyelesaikan isu dalaman seperti faraid, hibah, bank, dan urusan bersama PKNS.
Beliau mahu mengadakan pertemuan lanjutan supaya MRSB meyakinkan penduduk.
“MRSB kena bagi aku janji dengan pemilik dan pewaris, kita kena duduk berbincang. Kalau dia dakwa 80% setuju, MRSB kena bagi kami surat hitam putih dari syarikat kewangan, perbankan kepada kami. Pemaju juga kena yakinkan kami bahawa mereka ada keupayaan laksanakan projek itu,” katanya.
Rancangan pembangunan semula itu meliputi pangsapuri 52 tingkat untuk pemilik Rumah Pangsa PKNS sedia ada, selain tiga menara tambahan untuk unit kediaman dan runcit.