PATI terkandas dihantar pulang, dilarang masuk Malaysia seumur hidup, kata KP imigresen

PATI terkandas dihantar pulang, dilarang masuk Malaysia seumur hidup, kata KP imigresen

Ia berikutan Program Rekalibrasi Pulang berakhir 30 Jun lalu dengan kebanyakan pendatang meninggalkan negara pada saat akhir.

Sebilangan pendatang yang dilaporkan terkandas di KLIA.
PETALING JAYA:
Pendatang yang gagal meninggalkan Malaysia bawah Program Rekalibrasi Pulang berakhir bulan lalu, akan dihantar ke negara asal dan dilarang memasuki negara seumur hidup, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Ini berikutan, terdapat laporan bahawa ramai pendatang menyerbu KLIA dan Terminal Feri Antarabangsa Stulang Laut, Johor Bahru, dengan harapan dapat meninggalkan negara sebelum tarikh akhir program itu pada 30 Jun.

Sebilangan besar dilaporkan terkandas selepas gagal menaiki penerbangan atau feri masing-masing.

Khairul berkata, mereka yang gagal pulang ke negara asal akan ditahan di depot imigresen sebelum dihantar pulang.

“Mereka akan ditahan di depot imigresen sebelum dihantar pulang. Mereka akan dihalang daripada memasuki Malaysia seumur hidup,” katanya kepada FMT.

Pada 25 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, seramai 243,297 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 282,561 yang berdaftar dihantar pulang secara sukarela menerusi Program Rekalibrasi Pulang.

Katanya, sebaik program itu tamat, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pesalah.

Bawah program yang bermula November 2020, PATI dibenarkan pulang ke negara asal mereka selepas memenuhi beberapa kriteria.

Duta Besar Indonesia Hermono berkata, beliau menerima berita mengenai ramai pendatang terlepas penerbangan namun tidak mengetahui jumlah sebenar.

“Pendatang di Johor terpaksa menunggu lebih tiga hari untuk membayar denda kompaun sebelum mereka mendapat pelepasan untuk berlepas.

“Kami belum menerima sebarang maklumat daripada Jabatan Imigresen berhubung apa yang akan berlaku kepada mereka yang gagal keluar dari negara itu,” katanya.

Sementara itu, seorang aktivis enggan dikenali yang membantu pendatang di KLIA pada Khamis menyifatkan keadaan sebagai “kecoh”.

Beliau berkata, bilangan pegawai dan kaunter imigresen yang sedikit untuk memproses jumlah migran yang ramai menyebabkan ramai terlepas penerbangan.

“Ramai orang berkampung di tempat letak kereta bawah tanah, untuk menunggu.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.