Majlis boleh kenakan syarat terhadap persatuan penduduk

Majlis boleh kenakan syarat terhadap persatuan penduduk

Mahkamah Tinggi berkata Majlis Bandaraya Petaling Jaya boleh bertindak dalam bidang kuasanya untuk melarang persatuan penduduk daripada mengenakan syarat tidak munasabah.

Hakim berkata MBPJ berhak melarang mana-mana persatuan daripada mengenakan syarat tidak munasabah terhadap pemilik rumah.
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa persatuan penduduk di Petaling Jaya tidak boleh mengarahkan mereka yang mendiami kawasan perumahan komuniti berpagar tetapi enggan membayar yuran perkhidmatan bulanan, mengendalikan sendiri pagar automatik itu.

Hakim Shahnaz Sulaiman berkata, keputusan itu susulan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menggesa persatuan membatalkan arahan berkenaan kepada penduduk, sedangkan pihaknya berhak melarang mana-mana persatuan terletak bawah bidang kuasanya untuk mengenakan syarat tidak munasabah terhadap pemilik rumah.

“Pada pandangan kami, kelulusan persatuan penduduk dalam pelaksanaan operasi komuniti berpengawal adalah berada bawah bidang kuasa responden (MBPJ),” katanya ketika permohonan semakan kehakiman.

Shahnaz berkata, keputusan majlis untuk menolak persatuan daripada mengenakan peraturan berkenaan adalah rasional, munasabah dan tidak menyalahi undang-undang.

Beliau berkata lagi, terdapat permintaan terhadap penduduk mahupun bukan penduduk yang enggan membayar yuran perkhidmatan bulanan untuk mengendalikan pintu pagar sendiri, yang tertakluk dalam peruntukan garis panduan majlis untuk kawasan kediaman komuniti berpagar itu.

Pemohon bernama Chow Hau Mun yang juga merupakan presiden Persatuan Penduduk Parkvile, memfailkan saman terhadap MBPJ yang enggan membenarkan arahannya bagi penduduk bukan ahli untuk mengendalikan pintu pagar itu sendiri.

Chow, yang diwakili A Surendra Ananth, mengenakan syarat itu berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Bagaimanapun, pendirian MBPJ yang diwakili Yatiswara Ramachandran adalah, keputusan mahkamah tertinggi tidak menyokong hujah Chow.

Keputusan Mahkamah Persekutuan adalah sama ada kesulitan yang timbul itu akan menjadi gangguan yang boleh diambil tindakan, kata Shahnaz sambil menambah bahawa perkara itu bukan isu mahkamah dalam kes ini.

“Isu itu berkaitan syarat yang dikenakan defendan (MBPJ) terhadap persatuan penduduk.” katanya menerusi penghakimannya yang dikeluarkan awal minggu ini.

Pada Disember 2020, majlis telah meluluskan permohonan persatuan itu untuk mengendalikan komuniti berpagar menjelang Disember tahun ini.

Persatuan itu menulis surat kepada majlis perbandaran pada awal tahun lalu mengatakan pihaknya akan mengenakan peraturan kepada penduduk yang tidak membayar yuran perkhidmatan, membawa kepada aduan beberapa pemilik rumah.

MBPJ kemudian menulis surat kepada persatuan itu untuk menarik balik syarat berkenaan, tetapi tidak berhasil.

Chow mencabar keputusan majlis itu pada 30 Mac tahun lalu.

Surendra berkata, pihaknya telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.