Lebih RM23 juta jualan, padanan perniagaan direkod dalam Minggu Usahawan Nasional

Lebih RM23 juta jualan, padanan perniagaan direkod dalam Minggu Usahawan Nasional

Lebih 16,000 pengunjung membanjiri sambutan peringkat kebangsaan itu di Malaysia Grand Bazaar yang menyaksikan Putrajaya mengetengahkan PMKS.

Kira-kira 16,000 orang mengunjungi sambutan peringkat kebangsaan itu yang diadakan di Malaysia Grand Bazaar dari 24 hingga 27 Jun lalu, yang menyaksikan Putrajaya mengetengahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
PETALING JAYA:
Sambutan Minggu Usahawan Nasional (MUN) berakhir dengan kejayaan pada Isnin lalu, dengan lebih RM23.6 juta nilai jualan direkodkan dan padanan perniagaan berpotensi dicapai sepanjang MUN.

Ini lebih dua kali ganda unjuran awal Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sebanyak RM10 juta dalam jualan.

Kira-kira 16,000 pengunjung membanjiri sambutan peringkat kebangsaan itu di Malaysia Grand Bazaar (MGB) @Lalaport dari 24 hingga 27 Jun lalu, yang menyaksikan Putrajaya mengetengahkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar menyifatkan MUN sebagai kejayaan besar yang jauh melepasi jangkaan kementerian, malah ia diadakan tepat pada masanya ketika negara dalam proses pemulihan pasca pandemik.

“Selepas dua tahun tidak dapat mengadakan MUN, sambutan tahun ini memang sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Kami bangga dengan usahawan yang mengambil bahagian, sama ada untuk mempelajari cara menambah nilai produk mereka, mahupun mempamerkan jenama masing-masing.

“Saya percaya MUN akan menjadi pemangkin kepada kebanyakan PMKS yang telah mengambil bahagian untuk membangunkan perniagaan dan proses pemulihan mereka,” katanya.

Diadakan sempena Hari PMKS Sedunia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, MUN tahun ini bertujuan mengetengahkan peranan utama usahawan sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia.

MUN mengetengahkan seminar, bengkel, padanan perniagaan dan gerai pameran. Usahawan turut berpeluang mendapatkan maklumat berguna daripada profesional berpengalaman, sambil mempamerkan produk mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Noh Omar berkata, Minggu Usahawan Nasional diadakan tepat pada masanya ketika negara dalam proses pemulihan pasca pandemik.

Pelbagai produk dipamerkan, daripada industri makanan dan minuman hinggalah fesyen dan aksesori, kecantikan dan spa, serta kraftangan.

Lokasi MUN diadakan, iaitu di MGB, bertujuan mewujudkan platform untuk bakal usahawan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Disifatkan sebagai pusat beli-belah “artisanal” pertama di Malaysia, ruang berkeluasan 100,000 kaki persegi itu menyasarkan untuk mempromosikan sehingga 100 jenama tempatan pada satu-satu masa, selain memberi penghormatan kepada kesenian tempatan menerusi seni bina diilhamkan warisan.

“Kuskop berharap MUN akan terus diadakan setiap tahun bagi menggalakkan budaya keusahawanan dalam kalangan rakyat Malaysia, seterusnya melahirkan lebih ramai golongan itu.

“MUN seiring aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan masyarakat kita secara umumnya,” kata Noh.

MUN yang dianjurkan Kuskop itu menyasarkan untuk meningkatkan pertumbuhan usahawan dengan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran mereka serta menambah jumlah usahawan berkualiti, berdaya saing dan berdaya tahan dalam keadaan ekonomi yang begitu mencabar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.