Kes pemandu mabuk di Malaysia turun akibat azam politik, kata Wee

Kes pemandu mabuk di Malaysia turun akibat azam politik, kata Wee

Menteri pengangkutan itu menggunakan langkah menyeluruh '3E' – penguatkuasaan, kejuruteraan dan pendidikan – untuk mengurangkan kemalangan jalan raya.

Wee Ka Siong ialah speaker pertama dalam panel pelbagai pihak berkepentingan Mesyuarat Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai keselamatan jalan raya semalam.
NEW YORK:
Malaysia berjaya mengurangkan kes kemalangan jalan raya berkaitan pengambilan alkohol atau dadah disebabkan keazaman politik kerajaan sejak dua tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata demikian sebagai speaker pertama dalam panel pelbagai pihak berkepentingan Mesyuarat Peringkat Tinggi (HLM) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai keselamatan jalan raya semalam.

Beliau berkata, keazaman politik demikian adalah faktor besar dalam membantu mengurangkan tragedi jalan raya sejak era pandemik bermula.

“Perlu ada keazaman politik untuk menangani isu (kematian di jalan raya) dengan sangat serius,” katanya yang merupakan antara empat anggota panel membincangkan topik “Menggabungkan keselamatan jalan raya dalam pembangunan mampan: keazaman politik dan pendekatan menyeluruh kerajaan.”

Ahli panel lain ialah Datuk Bandar Kampala di Uganda, Erias Lukwago Ssalongo; Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Kongres Perwakilan Sepanyol, Juan Jose Matari Saez dan Penolong Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia merangkap Wakil Khas Ketua Pengarah untuk Pembaharuan PBB, Stewart Simonson.

Wee berkata, beliau menggunakan langkah menyeluruh “3E” – penguatkuasaan, kejuruteraan dan pendidikan – untuk mengurangkan kemalangan jalan raya, bermula dengan “penguatkuasaan” sejurus beliau menjadi menteri pengangkutan pada Mac 2020.

“Di Malaysia, tiga atau empat tahun lalu, banyak kejadian, kemalangan membabitkan pemanduan dalam keadaan mabuk, khasnya membabitkan kematian. Ia berleluasa dan berlaku walaupun semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.

“Jadi, dalam 100 hari pertama saya (sebagai menteri pengangkutan), saya mencadangkan kepada Jemaah Menteri, dan ini akhirnya diluluskan Parlimen, untuk meminda undang-undang mewajibkan sesiapa yang memandu di bawah pengaruh (DUI) alkohol dan dadah dihukum penjara mandatori.”

Sebelum itu, katanya, hukuman bagi kesalahan sama hanya denda USD100 atau USD200, “yang tidak signifikan bagi pesalah”.

“Itu sebabnya selepas dua tahun, saya fikir ia pada dasarnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya akibat memandu dalam keadaan mabuk.”

Data yang disediakan polis menunjukkan jumlah pengguna jalan raya terbabit dalam kemalangan DUI berkaitan alkohol dan dadah adalah 212 pada 2020, 39 pada 2019, 191 (2018), 212 (2017) dan 461 (2016).

Menurut WHO, Malaysia antara negara yang mempunyai kadar kematian jalan raya terendah di dunia akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Laporan keselamatan jalan raya global dari Disember 2018 menunjukkan kurang 1% kematian berkaitan trafik di Malaysia dikaitkan dengan alkohol, jauh di bawah kadar dalam kalangan negara lain di rantau ini.

Data polis turut menunjukkan sejak 2014, DUI menyumbang kepada peratusan kematian terendah daripada keseluruhan jumlah kematian jalan raya dengan 2.89% pada 2014, 3.41% (2015), 3.31% (2016), 0.86% (2017) dan 0.85% (2018).

Menurut Bukit Aman, hanya 69 kemalangan maut disebabkan DUI sejak 2011, menjadikannya punca kematian jalan raya terendah antara 2011 dan Julai 2021.

Wee berkata, pendekatan kedua ialah kejuruteraan. “Saya fikir kita perlu menjadikan jalan raya kita lebih selamat dan kita perlu melihat reka bentuk geometri jalan. Kita perlu memberi perhatian lebih terhadap isu ini.

“Ketiga ialah pendidikan dan advokasi. Saya rasa penting untuk kita mendidik atau menyokong pendidikan trafik yang betul kepada generasi muda, seperti memakai topi keledar, menggunakan tali pinggang keledar, CRS (sistem kekangan kanak-kanak),” katanya sambil menambah Malaysia komited melaksanakan pelan keselamatan jalan raya 2022–2030 bagi mengurangkan kematian jalan raya sehingga 50% menjelang 2030.

Khamis lalu, Malaysia menerima deklarasi politik 18 perkara dalam HLM PBB bersama pemimpin dunia lain untuk menangani kadar kemalangan jalan raya tinggi di seluruh dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.