Bapa cedera ditumbuk anak lelaki

Bapa cedera ditumbuk anak lelaki

Mangsa berusia 63 tahun ditumbuk berkali-kali di kepalanya oleh anak lelaki selepas suspek berang tidak mempercayai kata-katanya.

Polis berkata suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif syabu.
PETALING JAYA:
Seorang bapa cedera selepas dipukul anak lelakinya di kepala dalam kejadian di Kampung Indah Permai, Tasek Permai, Ampang.

Dalam kejadian 10.30 malam kelmarin, mangsa berusia 63 tahun bekerja sebagai peniaga cedera di dahi dan kelopak mata.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohamad Farouk Eshak, berkata kejadian dipercayai berpunca apabila suspek berang selepas bapanya tidak mempercayai kata-katanya dan mengesyaki lelaki berusia 33 tahun itu berada bawah pengaruh dadah.

“Berlaku pertengkaran dan suspek kemudian bertindak menumbuk kepala bapanya berulang kali menggunakan tangan.

“Suspek juga mengugut akan terus mencederakan mangsa sekiranya menghubungi polis,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Farouk berkata, susulan itu polis yang tiba di tempat kejadian terus membuat tangkapan terhadap suspek.

“Semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan saringan awal air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis syabu,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari hingga 4 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.