Lembaga Disiplin Umno kena panggil Tajuddin, kata Shahidan

Lembaga Disiplin Umno kena panggil Tajuddin, kata Shahidan

Shahidan Kassim berkata selepas bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dipanggil, Umno harus menyelesaikan kemelut dalam partinya.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mahu Lembaga Disiplin Umno memanggil Tajuddin Abdul Rahman, susulan pendedahan dibuat dalam sidang media, pada Isnin lalu.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Disiplin Umno perlu memanggil Tajuddin Abdul Rahman, susulan dakwaan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) itu terhadap presiden, Ahmad Zahid Hamidi, Isnin lalu.

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim ketika membuat gesaan itu, berkata selepas Tajuddin dipanggil, Umno harus menyelesaikan kemelut dalam partinya.

“Pendedahan tersebut menyebabkan luka… dan luka itu harus diperbaiki.

“Luka ini mesti diselesaikan dengan Jawatankuasa (Lembaga) Disiplin (Umno) panggil Tajuddin tanya pendedahan dibuat. Selepas itu selesaikan,” katanya pada sidang media di Majlis Perasmian Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur dan Jejambat Jalan Ipoh.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan Tajuddin dalam sidang media, Isnin lalu, yang mendakwa beliau adalah saksi bahawa Umno menghantar akuan berkanun (SD) kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut secara terbuka mendesak Zahid supaya melepaskan jawatan presiden parti, selain mendakwa hampir 130 ketua bahagian Umno mahu beliau berbuat demikian.

Dalam pada itu, Shahidan berkata, beliau tidak terlibat menandatangani SD untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Katanya, ini kerana beliau patuh kepada keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang memutuskan ‘No Anwar, No DAP’.

“Saya tidak terlibat. Saya orang yang patuh pada parti. Kalau PAU kata ‘No Anwar, No DAP’, saya tak akan pergi ke Anwar dan DAP. Saya macam itu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan berkata, lanjutan Skim Wilayah Bebas Berniaga di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dilanjutkan sehingga Dis untuk kebaikan rakyat.

“Dalam masa sama, kita tahu selepas pandemik, pelbagai masalah dihadapi ini antara usaha untuk kurangkan masalah.

“Kita telah sambung enam bulan dan kita sambung lagi enam bulan. Selepas ini mereka mesti niaga ditempat-tempat dilesenkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.