Keputusan rayuan kes rasuah, ubah wang haram Azeez ditangguh

Keputusan rayuan kes rasuah, ubah wang haram Azeez ditangguh

Ia selepas peguamnya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai 'penemuan baharu' dalam kesnya.

Mahkamah Rayuan sepatutnya menyampaikan keputusannya hari ini terhadap rayuan Abdul Azeez (kiri) untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menangguhkan keputusan rayuan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya.

Ia selepas peguamnya mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat “penemuan baharu” dalam kesnya.

“(Ketua Pesuruhjaya SPRM) Azam Baki berkata mereka sedang meneliti isu itu dan akan memaklumkan peguam negara dalam masa terdekat,” kata peguam utama, Amer Hamzah Arshad.

Bagaimanapun, Amer tidak mendedahkan butiran mengenai “penemuan baharu” itu.

Mahkamah sepatutnya memutuskan rayuan Azeez untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan 10 tuduhan pengubahan wang haram. Keputusan itu kini akan dibuat pada 26 Ogos.

Azeez didakwa pada 2019 atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Beliau juga berdepan 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana berjumlah RM13.9 juta daripada sebuah syarikat, Menuju Asas Sdn Bhd.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berusaha untuk membatalkan tuduhan rasuah dan pengubahan wang haramnya, dengan mendakwa bahawa ia dilakukan dengan niat jahat.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berkata, pendakwaan tidak membantah permohonan pembelaan untuk menangguhkan keputusan itu sementara menunggu keputusan daripada SPRM.

Hakim Abu Bakar Jais kemudiannya berkata, panel bersedia untuk keputusan mereka hari ini.

“Tolong jangan tangguhkannya (ini) lagi,” katanya.

Hakim Kamaludin Md Said yang mempengerusikan panel itu berkata, mereka akan memberikan penangguhan terakhir dan menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusan.

Kamaludin turut menyoal pendakwaan untuk memutuskan sama ada ia mahu meneruskan pertuduhan Azeez, sambil berkata “ia tidak perlu mengambil masa satu tahun untuk berbuat demikian”.

Turut menganggotai panel itu ialah Che Mohd Ruzima Ghazali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.