Isu Batu Puteh: Mahkamah batal saman terhadap kerajaan atas dakwaan gagal bertindak

Isu Batu Puteh: Mahkamah batal saman terhadap kerajaan atas dakwaan gagal bertindak

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata, Hatta Sanuri tidak mempunyai kedudukan dari segi undang-undang untuk memfailkan tindakan itu.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perkara berkaitan Batu Puteh tidak boleh diadili. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini membatalkan saman seorang lelaki terhadap kerajaan berhubung isu kedaulatan Batu Puteh.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Hatta Sanuri, dengan memutuskan bahawa beliau tidak mempunyai kedudukan dari segi undang-undang untuk memfailkan tindakan itu.

Mahkamah memutuskan bahawa perkara berkaitan Batu Puteh tidak boleh diadili dan mengarahkan Hatta membayar kos RM6,000.

Hatta, yang diwakili peguam Mohaji Selamat, akan merayu keputusan mahkamah itu.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili kerajaan.

Hatta memfailkan saman itu tahun lepas, mempertikaikan tindakan kerajaan menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menganugerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh kepada Singapura.

Beliau mendakwa kerajaan tidak memberi penjelasan untuk penarikan balik itu, walaupun wujud bukti baharu yang memihak kepada permohonan Malaysia untuk mengakaskan keputusan ICJ itu.

Beliau memohon pengisytiharan mahkamah supaya kerajaan membayar pampasan RM10 juta kepada rakyat Malaysia berhubung keputusan itu.

Pada 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai kedaulatan ke atas Batu Puteh, manakala Batuan Tengah dianugerahkan kepada Malaysia dan Tubir Selatan kepada negara di mana wilayah perairannya berada.

Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu.

Tahun lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Jemaah Menteri pimpinan Ismail Sabri Yaakob bersetuju untuk membentuk pasukan petugas khas untuk mengkaji tindakan dan isu undang-undang berhubung perkara tersebut.

Pasukan petugas yang diketuai bekas peguam negara Apandi Ali itu turut dianggotai peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek, serta wakil daripada Wisma Putra, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan, dan kerajaan Johor.

Ia akan mengemukakan penemuan dan saranannya kepada Jemaah Menteri dalam tempoh enam bulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.