Harga siling ayam memadai untuk penternak, kata timbalan menteri

Harga siling ayam memadai untuk penternak, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ahmad Hamzah berkata, kadar berkenaan ditetapkan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dan libat urus dengan penternak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ahmad Hamzah memaklumkan bahawa bekalan ayam di seluruh negara stabil dan mencukupi. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) menegaskan kadar harga siling ayam RM9.40, yang ditetapkan kerajaan kelmarin, memadai untuk penternak.

Timbalan menterinya, Ahmad Hamzah berkata, kadar berkenaan ditetapkan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dan libat urus dengan penternak.

“Ia memang memadai (harga siling ayam), selepas kita adakan perbincangan dan libat urus dengan penternak dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Khas Jualan Terus dari Ladang Keluarga Malaysia di Ibu Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Selayang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan persatuan penternak bahawa harga siling itu tidak mencukupi.

Pada 26 Jun, penternak mencadangkan agar harga siling baharu ayam ditetapkan antara RM10 hingga RM10.50 sekilogram selepas kerajaan menarik semula keputusan mengapungkan harga ayam.

Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor Idrus Zainal Abidin berkata, kadar RM10.50 adalah harga siling maksimum yang adil bagi pengusaha.

Berkuat kuasa hari ini, harga siling runcit ayam standard ditetapkan pada kadar RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia susulan keputusan kerajaan meneruskan pemberian subsidi.

Harga siling runcit telur ayam turut ditetapkan pada kadar 0.45 sen sebiji bagi gred A, 0.43 sen sebiji (gred B) dan 0.41 sen sebiji (gred C) , sepertimana diputuskan mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lepas.

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM369.5 juta bagi penetapan harga siling tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan subsidi sebanyak RM1.1 bilion sejak 5 Feb lepas.

Selain itu, Hamzah berkata, pihaknya mengambil perhatian mengenai masalah dihadapi penternak seperti cuaca, keadaan geopolitik susulan peperangan Russia-Ukraine dan peningkatan kos makanan haiwan.

Katanya, disebabkan itu, langkah kerajaan menetapkan harga siling ayam berkenaan adalah tepat.

“Walau apa pun, kerajaan ingin memaklumkan bahawa bekalan ayam di seluruh negara mencukupi dan stabil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.