Buat apa bina stadium baharu, baik guna duit tambah bantuan mangsa banjir, kerajaan Selangor diberitahu

Buat apa bina stadium baharu, baik guna duit tambah bantuan mangsa banjir, kerajaan Selangor diberitahu

Otai Reformis berpandangan tiada keperluan menggantikan Stadium Shah Alam memandangkan struktur asalnya masih boleh digunakan, dan cuma perlu dinaik taraf.

Pembinaan stadium baharu oleh kerajaan Selangor memerlukan perbelanjaan besar, sedangkan lebih baik dana itu disalurkan kepada mangsa banjir negeri itu yang masih memerlukan bantuan, menurut Otai Reformis. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Kumpulan Otai Reformis membantah sebarang cadangan untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan menggantikannya dengan arena lebih kecil.

Setiausahanya Abdul Razak Ismail berkata pembinaan stadium baharu oleh kerajaan Selangor memerlukan perbelanjaan besar, sedangkan lebih baik dana itu disalurkan kepada mangsa banjir negeri itu termasuk di kawasan Sri Muda yang masih memerlukan bantuan.

“Jumlah RM1,000 yang diberikan kepada mangsa banjir masih tidak mencukupi jika dibandingkan dengan kerosakan harta benda mereka mencecah puluhan dan ratusan ribu ringgit,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan tindakan merobohkan stadium itu akan mendatangkan kemarahan rakyat yang sedang susah ketika ini.

Otai Reformis yang juga kumpulan penyokong Anwar Ibrahim berkata, pihaknya berpandangan tiada keperluan menggantikan Stadium Shah Alam memandangkan struktur asalnya masih boleh digunakan, dan cuma perlu dinaik taraf.

“Yang rosak bumbung sahaja, kenapa nak roboh stadium? Cukup naik taraf baiki kerosakan tertentu sahaja,” katanya.

Razak berkata demikian mengulas laporan Utusan Malaysia mendedahkan Stadium Shah Alam yang pernah dinobat sebagai terbesar di Asia Tenggara dan menjadi stadium rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants didakwa akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil.

Stadium baharu berkenaan dikatakan berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton supaya mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang berkeluasan kira-kira 155,000 meter persegi.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, pembangunan semula Kompleks Sukan Stadium Shah Alam di Seksyen 13 akan dilaksanakan berdasarkan hasil penilaian jawatankuasa khas.

Katanya, pembangunan semula itu juga akan membabitkan Stadium Malawati sebelum tindakan selanjutnya diumumkan tidak lama lagi.

“Keputusan pembangunan semula Stadium Shah Alam (di Seksyen 13), di sini akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.