100 sertai himpunan Amanah protes kenaikan harga barang

100 sertai himpunan Amanah protes kenaikan harga barang

Naib Presiden Amanah Adly Zahari berkata kerajaan sepatutnya menetapkan langkah memastikan harga kekal stabil sejak tahun lalu lagi, memandangkan lebih ramai rakyat jatuh miskin selepas pandemik.

Sebahagian daripada peserta himpunan dianjurkan Amanah di Kampung Baru, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 100 orang menyertai protes kenaikan harga barang dianjurkan Amanah, di Kampung Baru, tengah hari tadi.

Protes itu bermula pada 2 petang selepas solat Jumaat dan berakhir selepas 3 petang.

Hampir 15 pegawai polis berada di lokasi demi memastikan himpunan berlangsung aman dengan peserta mendesak kerajaan menangani masalah itu.

Berucap kepada peserta himpunan, Naib Presiden Amanah Adly Zahari, berkata Putrajaya sepatutnya menetapkan langkah memastikan harga kekal stabil sejak tahun lalu lagi, memandangkan lebih ramai rakyat jatuh miskin selepas pandemik.

Bekas ketua menteri Melaka itu, berkata kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai kemampuan melindungi kepentingan orang Melayu.

“Saya berharap rakyat Malaysia memilih untuk menukar kerajaan (pada pilihan raya umum). Kami (Pakatan Harapan) mampu membuat kerja lebih baik menerajui negara,” katanya.

Hadir sama, bekas menteri wilayah persekutuan yang juga Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, Setiausaha Agung Hatta Ramli dan ADUN Permatang Pasir Faiz Fadzil.

Faiz memberitahu pemberita bahawa parti itu menuntut tindakan termasuk kerajaan perlu mendedahkan pelan menangani kenaikan kos sara hidup dalam persidangan Dewan Rakyat, bulan ini.

Beliau juga mendesak Putrajaya mengembalikan semula subsidi minyak masak botol.

Kerajaan memansuhkan minyak masak botol berkapasiti 2kg, 3kg and 5kg, bermula hari ini. Hanya minyak masak peket 1kg sahaja kekal diberikan subsidi yang sepatutnya dimanfaatkan golongan B40.

Sejak beberapa minggu lalu, kenaikan harga makanan, dari sayuran hingga ke roti canai, menjadi tumpuan, sehingga memaksa kerajaan mengambil langkah tertentu, merangkumi pengekalan harga siling dan larangan eksport.

Kenaikan harga susulan daripada faktor domestik dan isu rantaian bekalan antarabangsa dan peningkatan mendadak kos bahan mentah kesan daripada konflik Rusia-Ukraine, yang masih berlanjutan.

Kerajaan sudah melaksanakan harga siling baharu bagi ayam, RM9.40 sekilogram, bermula hari ini. Harga siling baharu itu turut meliputi harga telur ayam.

Sebelum ini, perdana menteri mengumumkan tambahan tunai Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), susulan daripada pemansuhan beberapa subsidi, selain bagi menyerap peningkatan harga barang.

Penerima B40 yang layak akan menerima tambahan RM100 bagi isi rumah, manakala individu bujang akan menerima tambahan RM50. Ismail berkata, kerajaan memperuntukan tambahan RM630 juta bagi tujuan itu.

Kerajaan juga turut menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.