
Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhi hukuman itu terhadap Mohd Zaed Asan, 34, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 24 bulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.
Menurut pertuduhan pilihan, Zaed bersama seorang yang masih bebas, pada 14 Nov 2021, pada kira-kira 1.20 pagi bertempat di dalam kereta Volkswagen Passat 2, di tepi jalan berhampiran stesen minyak di Nilai Square Commercial Centre, dengan niat secara rasuah memberikan suatu suapan, iaitu wang tunai RM200,000 kepada Mohamad Taufiq Sudiman yang berpangkat koperal.
Suapan itu sebagai balasan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap lima rakan tertuduh yang ditahan semasa serbuan oleh pihak polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai, pada 13 Nov 2021, di sebuah unit Residensi Mesa Putra Nilai atas kesalahan jenayah penipuan pelaburan.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama.
Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala tertuduh diwakili peguam Kamal Adha Mohd Harozi.
Wan Shaharuddin turut memuji tindakan tiga anggota polis yang terbabit dalam kes berkenaan yang tidak terpedaya dengan wang rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.
Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM200,000 bagi kes ini dilucut hak melalui ketua pesuruhjaya SPRM kepada kerajaan Malaysia.