Majoriti penduduk setuju, projek Kampung Baru RM1.2 bilion diterus

Majoriti penduduk setuju, projek Kampung Baru RM1.2 bilion diterus

Projek pembangunan semula itu akan dilaksanakan oleh syarikat usaha samanya dengan Jiankun International Bhd, Menara Rezeki Properties Sdn Bhd.

Menara Rezeki Sdn Bhd berkata ia mendapat lebih 80% persetujuan pemilik tanah/petak bagi membolehkan pengambilan tanah di Kampung Baru dilakukan.
KUALA LUMPUR:
Menara Rezeki Sdn Bhd (MRSB) akan meneruskan projek pembangunan semula Flat PKNS Jalan Tun Razak bernilai RM1.2 bilion di Kampung Baru di sini memandangkan ia telah mendapat persetujuan daripada majoriti penduduk tempatan.

MRSB dalam kenyataan menjelaskan projek pembangunan semula itu akan dilaksanakan oleh syarikat usaha samanya dengan Jiankun International Bhd, Menara Rezeki Properties Sdn Bhd.

Pihaknya akan mengemukakan cadangan berkaitan projek pembangunan semula itu kepada kerajaan tempatan tidak lama lagi, tambahnya.

Awal tahun ini, pihak pemaju mengadakan perjumpaan tertutup dengan penduduk dan Jawatankuasa Bertindak Flat PKNS, Kampung Baru untuk membentangkan cadangan projek pembangunan semula tersebut.

Menurut MRSB, antara syarat yang diberikan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) kepada pihaknya ialah mendapatkan sekurang-kurangnya 50% persetujuan pemilik tanah/petak bagi membolehkan pengambilan tanah dilakukan.

Menerusi usaha MRSB, katanya, persetujuan tawaran itu melebihi 80% sehingga kini, melebihi syarat ditetapkan.

Pengarah Urusan MRSB, Saiful Nizam Mohd Yusoff, berkata syarikat itu turut mempertimbangkan keperluan dan masalah yang dihadapi pemilik tanah sedia ada dan merangka rancangan terperinci.

“Berasaskan keupayaan MRSB dan rakan kongsi kami, saya teruja untuk menyaksikan projek pembangunan semula ini menjadi kenyataan dalam tempoh empat tahun dari sekarang,” katanya.

Rancangan pembangunan semula itu meliputi menara pangsapuri 52 tingkat, dibina untuk pemilik Flat PKNS sedia ada, selain tiga menara tambahan untuk unit kediaman dan runcit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.