Henti usir petani daripada tanah kerajaan, gesa ahli Parlimen PKR

Henti usir petani daripada tanah kerajaan, gesa ahli Parlimen PKR

Petani terus diusir secara paksa walaupun sudah bertahun-tahun memohon kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah didudukinya, kata Chang Lih Kang.

Ketua Parti Sosialis Malaysia Dr Jeyakumar Devaraj awal bulan ini membuat rayuan agar petani di Changkat Kinding, Perak, tidak diusir. Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang turut mengulangi gesaan sama.
PETALING JAYA:
Seorang naib presiden PKR menggesa pihak berkuasa menghentikan serta-merta pengusiran petani daripada tanah kerajaan.

Ahli Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang berkata, terdapat banyak kes petani diusir secara paksa atas sebab utama tanah itu diberikan kepada syarikat pemaju untuk projek perumahan atau perladangan berskala besar.

Beliau berkata, kejadian seumpama itu berterusan berlaku walaupun petani sudah bertahun-tahun memohon kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan tanah terbabit.

Chang dalam kenyataan berkata, arahan perlu diberikan untuk menghentikan pengusiran petani di tanah kerajaan, tanah agensi kerajaan, mahupun tanah yang dipajak kepada syarikat swasta.

Chang Lih Kang.

Beliau berkata, kerajaan tidak perlu menggubal dasar baharu untuk membantu sektor pertanian dan hanya perlu memperbetulkan model peruntukan tanah bagi memastikan keutamaan diberikan kepada petani.

Beliau merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa bahawa kerajaan negeri bersetuju memperuntukkan lebih banyak tanah untuk pertanian bagi mengukuhkan jaminan makanan negara.

“Kerajaan juga harus memastikan pajakan tanah kerajaan negeri diberikan kepada petani kecil, bukan syarikat perladangan besar,” kata Chang.

Beliau berkata, Malaysia kini mempunyai 8 juta hektar tanah pertanian. Bagaimanapun kira-kira 6 juta hektar digunakan untuk ladang kelapa sawit.

“Jika masalah ini tidak ditangani dengan betul, isu jaminan makanan tidak akan selesai dalam masa terdekat,” katanya.

“Jika kerajaan enggan menghentikan pengusiran paksa dan memperbetulkan model peruntukan tanah, pengumuman perdana menteri itu hanyalah kenyataan politik yang hipokrit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.