Dedah parti BN terlibat skandal ‘IC untuk raih undi’, kata Leiking

Dedah parti BN terlibat skandal ‘IC untuk raih undi’, kata Leiking

Darell Leiking memuji tindakan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan ada parti BN yang terlibat dalam 'amalan khianat' seperti itu selepas sekian lama.

Timbalan presiden Warisan Darell Leiking turut menggesa daftar pemilih Sabah ‘dibersihkan’ daripada sebarang pemegang MyKad yang mencurigakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Warisan memuji Maximus Ongkili kerana akhirnya mengakui ada parti komponen Barisan Nasional (BN) mengeluarkan kad pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa dokumen di Sabah demi mendapat undi.

Darell Leiking memuji tindakan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan terdapat parti BN terlibat dalam “amalan khianat” seperti itu “selepas sekian lama”.

Katanya, pengeluaran IC kepada pendatang tanpa dokumen telah mengubah demografi negeri itu, seterusnya menyumbang peningkatan ketara penduduk Sabah.

“Bolehkah rakan saya, Maximus Ongkili, menyatakan parti mana dalam BN yang merosakkan Sabah dengan memberikan IC sebagai pertukaran untuk mendapat undian?

“Beliau patut segera berbuat demikian untuk membaiki pelanggaran keadilan terhadap setiap rakyat Sabah yang sahih, supaya tindakan boleh diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab,” kata timbalan presiden Warisan itu kepada FMT.

Leiking berkata, pendedahan dibuat Ongkili yang juga menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak itu, memberi sebab lebih kukuh bagi rakyat Sabah bersatu terhadap parti politik yang hanya mahu menggunakan negeri itu demi kepentingan peribadi. Malah, katanya, golongan itu langsung tidak mencintai negeri dan rakyat Sabah.

Beliau turut menggesa supaya daftar pemilih “dibersihkan” daripada pemegang MyKad yang mencurigakan itu.

“Berapa banyak lagi pilihan raya akan diadakan dengan pengundi yang mencurigakan?” soal bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu.

Terdahulu hari ini, Ongkili berkata sebuah parti komponen BN menyalahgunakan pendatang asing tanpa izin di Sabah untuk kepentingan politiknya telah dibuktikan, malah ini telah terbukti dalam siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenainya di Sabah yang dibentuk ketika pentadbiran Najib Razak.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan parti atau negeri di mana ia berlaku.

PBS pernah menjadi komponen BN tetapi meninggalkannya selepas gabungan itu kalah pada pilihan raya ke-14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.