
Apandi berkata, penjelasan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berhubung keputusan kerajaan melantik beliau sebagai pengerusi pasukan petugas khas bagi meninjau dan mengkaji opsyen perundangan untuk Malaysia serta menyiasat berkaitan penarikan rayuan kes itu di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018, sudah memadai.
“YB menteri sudah jawab melalui kenyataan media. Itu sudah lebih daripada mencukupi,” katanya kepada FMT.
Sesi temu bual membabitkan bekas perdana menteri itu dengan Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance di Jabatan Peguam Negara Selasa lalu tidak berlangsung seperti dirancang apabila Mahathir mempertikai kedudukan Apandi selaku pengerusi jawatankuasa terbabit yang disifatkannya tidak wajar.
Mahathir berkata, beliau telah menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara bagi menyuarakan kebimbangannya terhadap peranan Apandi kerana terdapat potensi berlaku konflik kepentingan jika beliau kekal mengetuai panel itu.
Susulan itu, Wan Junaidi mempertahankan pelantikan Apandi dengan memaklumkan, sebarang bantahan berkaitan kedudukan pengerusi pasukan petugas khas (PPK) Semakan Undang-undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan sepatutnya dibangkitkan lebih awal.
Katanya, tindakan Mahathir itu mengejutkan panel terbabit dan beliau kecewa dengannya, sambil memaklumkan siasatan itu akan terus berjalan seperti dirancang.
Pada 3 Feb 2017, Putrajaya memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan ICJ pada 23 Mei 2008 bahawa Singapura mempunyai kedaulatan ke atas pulau Batu Puteh.