
Timbalan Ketua Amanah Kuala Selangor, Nagmudin Hussain, berkata cadangan nama itu diputuskan seluruh jawatankuasa Amanah kawasan itu.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan Dzulkefly dapat terus memberi khidmat bakti kepada rakyat di Parlimen itu sekiranya memenangi PRU15.
“Kita tidak meletakkan nama lain selain Dzulkefly dan kita berharap pucuk pimpinan mempertimbangkan cadangan ini untuk terus memastikan kerusi Parlimen Kuala Selangor dipertahankan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Nagmudin berkata, sokongan itu berasas memandangkan terdapat 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyokong kepimpinan bekas menteri kesihatan itu untuk terus menerajui Parlimen Kuala Selangor.
Katanya, tiada istilah parti itu ketandusan pemimpin muda untuk diketengahkan, sebaliknya ‘aura’ kepimpinan Dzulkefly diperlukan untuk bersaing dengan parti lawan.
“Pada PRU15 ini kita masih perlukan khidmat Dzulkefly kerana beliau masih bertenaga, sihat dan cerdas untuk terus berkhidmat.
“Beliau (Dzulkefly) turut menguasai disiplin ilmu seperti agama, politik, ekonomi dan kesihatan selain tulisan dan cetusan beliau juga sering menjadi rujukan masyarakat,” katanya.
Malah, katanya, sebagai pemimpin, Dzulkefly turut disenangi dan dihormati kawan dan lawan kerana prinsip beliau yang cintakan perdamaian, ukhuwah dan perpaduan.
Katanya, sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU15 nanti, Dzulkefly antara pemimpin penting untuk melakukan reformasi seperti dibuktikan sewaktu menjadi menteri Kabinet.
Pada 23 Mei, Dzulkefly mahu memberi laluan kepada muka baharu bertanding di Parlimen Kuala Selangor selepas menjadi wakil rakyat bagi kawasan itu selama dua penggal.