6 telco utama setuju laksana 5G, kata Annuar

6 telco utama setuju laksana 5G, kata Annuar

Menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, pengumuman rasmi akan dibuat minggu depan.

Annuar Musa berkata, kesepakatan dicapai antara enam syarikat telekomunikasi utama untuk memiliki ekuiti DNB.
PUTRAJAYA:
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa mengesahkan enam syarikat telekomunikasi (telco) utama negara bersetuju mengambil kepentingan ekuiti dalam Digital Nasional Berhad (DNB) untuk pelancaran rangkaian 5G.

Katanya, pengumuman rasmi akan dibuat minggu depan dan semuanya berjalan “mengikut rancangan”.

“Rundingan berjalan dengan baik dan mencapai kesepakatan. Semuanya akan dimuktamadkan menjelang 8 Julai,” katanya dalam sebuah majlis.

Ditanya berhubung ketelusan dan harga, Annuar berkata: “Ia telah diselesaikan.”

Semalam, akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan enam telco bersetuju dengan perjanjian pelaburan tak terikat menjelang tarikh akhir yang ditetapkan kerajaan, hari ini, untuk menerima tawaran mengambil alih kepentingan dalam DNB.

DNB, syarikat milik kerajaan yang dilantik untuk mengendalikan kemudahan dan rangkaian 5G di seluruh negara, menawarkan kepentingan ekuiti sama rata sehingga 70% kepada telco utama menjelang 30 Jun.

Telekom Malaysia Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd sudah menandatangani perjanjian untuk mengambil ekuiti DNB.

Tetapi, empat telco terbesar, Celcom Axiata Bhd, DiGi.com Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd, dilaporkan mahu majoriti 51% pegangan ekuiti.

The Straits Times melaporkan empat telco itu bertegas dengan syarat itu untuk mengekalkan kawalan ke atas industri yang penting kepada ekonomi negara dalam pemulihan pasca pandemik.

Rundingan itu diawasi dengan teliti disebabkan impak besar ke atas masa depan sambungan mudah alih di negara ini, dengan Annuar mengugut akan membuka pintu kepada pemain lain, jika telco sedia ada – ada yang mengadu syarat tidak adil – tidak mendaftar sebagai satu-satunya pembekal borong 5G di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.