2 tahanan di Melaka, P Pinang mati ketika dirawat

2 tahanan di Melaka, P Pinang mati ketika dirawat

Kedua-dua kes itu berlaku secara berasingan ketika menerima rawatan di hospital.

Bukit Aman memaklumkan kedua-dua tahanan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
PETALING JAYA:
Dua lagi kes kematian dalam tahanan dilaporkan di Melaka dan Pulau Pinang menjadikan jumlah kematian dalam tahanan dicatatkan sepanjang tahun ini kepada 18.

Ketua Komunikasi Korporat Bukit Aman, Skandaguru Anandan, berkata kes ke-17 membabitkan seorang lelaki berusia 50 tahun yang ditahan di lokap balai polis Jasin kerana kesalahan berkaitan dadah pada 17 Jun lalu.

Katanya, lelaki terbabit ditemui tidak sedarkan diri dalam lokap pada 23 Jun lalu dan dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Melaka.

“OKT meninggal dunia pada tengah malam pada 26 Jun selepas didapati tidak sedarkan diri di wadnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bedah siasat mendapati tiada kecederaan fizikal pada badan si mati, dengan pendarahan usus dikaitkan sebagai punca kematian.

Sementara itu, katanya kes ke-18 membabitkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang ditahan di lokap balai polis Nibong Tebal pada 22 Jun lalu, juga atas kesalahan berkaitan dadah.

Katanya, pada tengah hari 26 Jun, lelaki itu mengadu sakit perut dan dibawa ke Hospital Sungai Bakap untuk rawatan.

Beliau berkata, OKT kemudian dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut tetapi meninggal dunia pada hari berikutnya.

“Pada 27 Jun jam 1.54 pagi pegawai perubatan mengesahkan OKT telah meninggal dan hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal luaran dikesan.

“Punca kematian disebabkan pendarahan teruk pada saluran pencernaan serta kegagalan beberapa fungsi organ utama dan ketidakstabilan metabolisma badan, akibat jangkitan kuman,” katanya

Katanya, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.