RM360,000 untuk cetak al-Quran, bukan bantu Umno, Zahid beritahu mahkamah

RM360,000 untuk cetak al-Quran, bukan bantu Umno, Zahid beritahu mahkamah

Bekas timbalan perdana menteri memberitahu percetakan al-Quran juga selari dengan khairat (kebajikan) memorandum dan artikel pertubuhan Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menandatangani dua cek pada 2015 dan 2016 untuk mengeluarkan dana Yayasan Akalbudi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahmad Zahid Hamidi menafikan di Mahkamah Tinggi bahawa dua cek berjumlah RM360,000 dikeluarkan Yayasan Akalbudi (YAB) kepada syarikat TS Consultancy & Resources bertujuan untuk membantu Umno mendaftarkan pengundi pada 2015.

Zahid, 69, yang memegang jawatan sebagai naib presiden Umno pada 2015, juga tidak mengetahui bahawa penubuhan syarikat itu, yang menyediakan khidmat pusat latihan, merupakan inisiatif parti politik tersebut.

“Saya nyatakan jumlah pembayaran RM360,000 yang dibuat YAB kepada TS Consultancy adalah bagi tujuan pembayaran percetakan al-Quran,” katanya yang turut memaklumkan percetakan al-Quran juga selari dengan khairat (kebajikan) memorandum dan artikel pertubuhan yayasan itu.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran, pada prosiding membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.

Raja Rozela: Setuju atau tidak, Datuk Seri sebagai naib presiden Umno ketika itu telah dikecualikan daripada maklumat (inisiatif penubuhan TS Consultancy) itu?

Zahid: Ia tidak pernah dibincangkan ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, apatah lagi dengan saya (sebagai naib presiden).

Raja Rozela: Datuk Seri tak ingat keterangan Pengerusi TS Consultancy, Wan Ahmad Wan Omar di mahkamah yang mengatakan syarikatnya dibiayai oleh ibu pejabat Umno?

Zahid: Saya tidak tahu.

Bekas timbalan perdana menteri itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa beliau telah diberi taklimat oleh Wan Ahmad bahawa syarikat itu memerlukan bantuan kewangan YAB.

Katanya, apa yang diberitahu Wan Ahmad kepadanya adalah mandat untuk percetakan al-Quran telah diberikan kepada Yayasan Restu yang dipengerusikan oleh Latiff Mirasa.

Mengenai pemberian cek RM10 juta oleh YAB kepada Armada Holdings Sdn Bhd yang merupakan syarikat pengimport dan pembekal arang batu, Zahid berkata, cek tersebut yang ditandatangani olehnya adalah untuk tujuan pelaburan.

Zahid berkata, beliau ada bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn Bhd Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr dan Khalid Mohamad Jiwa iaitu suami kepada penyanyi Siti Nurhaliza Tarudin bagi membincangkan mengenai projek arang batu itu pada Oktober 2015.

“Yang arif, penjelasan yang diberikan oleh Wasi ialah syarikat itu (Armada) berhasrat untuk menjadi pembekal arang batu kepada subsidiari TNB (TNB Fuel Services Sdn Bhd) dan Datuk ‘K’ (Khalid) menjelaskan secara terperinci mengenai caj yang dikenakan oleh TNB kepada Armada untuk mendaftar sebagai kontraktor,” katanya.

Kepada soalan Raja Rozela, adakah Zahid mengetahui bahawa Armada Holdings belum diperbadankan semasa cek RM10 juta diberikan kepadanya, Zahid menjawab: “Di luar pengetahuan saya”.

Raja Rozela: Ini bermakna due diligence (semak sebelum keputusan) yang konon Datuk Seri buat tidak lengkap.

Zahid: Setuju ia tidak lengkap.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.