Pemuda Bersatu setuju gaji menteri, timbalan dipotong bantu rakyat

Pemuda Bersatu setuju gaji menteri, timbalan dipotong bantu rakyat

Selain menteri dan timbalan, gaji pengerusi dan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan serta badan berkanun juga wajar dipotong bagi membantu rakyat.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersetuju peruntukan perjalanan menteri dan timbalan menteri ke luar negara dipotong jika ia membantu membendung inflasi.
KUALA LUMPUR:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersetuju dengan tuntutan 20 kumpulan mahasiswa yang mendesak supaya gaji menteri dan timbalan menteri dipotong.

Beliau yang juga timbalan menteri perpaduan negara turut berpandangan selain menteri dan timbalan menteri, gaji pengerusi dan lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun juga wajar dipotong bagi membolehkan peruntukan itu disalurkan kepada usaha membantu rakyat berdepan isu kenaikan kos sara hidup yang serius.

“Demi rakyat kita sanggup. Kadar potongan gaji juga terpulang, sama ada 10% atau 20%,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat sayap itu di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN).

Katanya selain itu, beliau juga bersetuju jika kos peruntukan perjalanan menteri dan timbalan menteri ke luar negara dipotong jika ia membantu membendung inflasi.

Beliau mengulas tindakan 20 kumpulan pelajar menyenaraikan lima tuntutan terhadap kerajaan, termasuk memotong gaji menteri dan timbalan serta menyediakan bantuan tambahan kepada rakyat bagi menangani kenaikan harga barang yang mendadak ketika ini.

Mengulas lanjut, Wan Fayhsal berkata pihaknya menentang sebarang penarikan semula subsidi pukal secara tergesa-gesa tanpa kajian menyeluruh terhadap kelangsungan golongan terjejas, apatah lagi ketika negara dalam proses pemulihan pasca pandemik Covid- 19.

“Penarikan subsidi secara tergesa-gesa akan membebankan golongan B40 dan M40. Bagi memastikan harga bekalan tidak melambung dan pada masa sama berlaku adil kepada peniaga, Pemuda Bersatu mencadangkan kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan lebih tegas.

“Jika perlu, Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011 boleh dipinda segera di Parlimen bagi memberikan lebih banyak instrumen penguatkuasaan kepada kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda bersatu juga menggesa kerajaan menghapuskan kerenah birokrasi dalam pengagihan subsidi dan bantuan kepada petani, penternak dan nelayan yang menghasilkan makanan negara, termasuk membuka kaunter bergerak di kawasan tumpuan yang menjadi hub pengeluaran makanan.

Katanya, pihaknya juga telah menubuhkan Skuad Prihatin Rakyat bagi membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau harga dan mengumpulkan aduan rakyat supaya maklumat dapat disalurkan kepada kementerian itu serta mendapat penyelesaian segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.