
Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail, 27, didakwa dengan sengaja mencederakan isterinya Nik Salma Joni, 26, dan Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61, di sebuah rumah dekat Kampung Cabang Empat, Tumpat, pada 5.30 petang, 21 Jun lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A dan Seksyen 326 kanun yang sama.
Seksyen 324 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat manakala Seksyen 326 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Abu Bakar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Kes itu disebut di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno yang kemudiannya menetapkan 5 Sept sebagai tarikh untuk menjatuhkan hukuman.
Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki cuba terjun dari tingkat 31 sebuah bangunan dalam pembinaan di Lembah Sireh, Kota Bharu selepas menikam isteri dan ibu mentuanya dalam kejadian di Chabang Empat, Tumpat.
Bagaimanapun, lelaki itu berjaya ditahan pada 10.14 pagi sebaik polis dimaklumkan terdapat seorang individu cuba terjun bangunan
Ketua Polis Tumpat Amran Dolah yang dipetik sebagai berkata, kejadian dipercayai berpunca perselisihan faham antara lelaki itu dengan isterinya.
Katanya, isterinya retak dan luka di bahagian kepala, patah dua jari tangan serta luka di beberapa bahagian anggota badan, manakala ibu mentuanya luka di kepala akibat ditikam suspek.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu,” katanya.