
Koordinator Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) Negeri Sembilan, S Tinagaran berkata, syarikat swasta itu didakwa memberi tekanan dengan memotong gaji, masa rehat yang terhad serta tidak membayar elaun cuti am.
“Kita minta KKM menyiasat dan membatalkan kontrak yang diberi kepada syarikat swasta itu kerana memperlakukan pekerja syarikat mereka sehingga ingin membunuh diri.
“Kita juga meminta KKM menilai kembali perjanjian syarikat-syarikat yang diberikan kontrak hospital kerajaan supaya lebih prihatin dan mempunyai dasar toleransi dan profesional apabila pekerja membuat aduan dalaman,” katanya di hadapan bangunan KKM.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyiasat syarikat swasta tersebut. Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KKM, Then Ming Fatt.
Tinagaran berkata, tekanan dialami pekerja terbabit selepas peraturan yang disifatkan sebagai tidak ‘berperikemanusiaan’ itu mengakibatkan dua pekerja pengawal keselamatan di hospital kerajaan itu berhentikan pada Mei lalu.
Beliau berkata, masalah itu timbul selepas syarikat swasta tersebut mengambil alih kontrak di hospital kerajaan di Seremban pada 2020. Katanya, sebelum syarikat itu mengambil alih, tiada masalah yang berlaku.
Sementara itu, salah seorang pekerja terbabit, S Letchumy berkata, dia telah diberhentikan kerja pada Mei lalu akibat tekanan yang dialaminya sepanjang bekerja di hospital tersebut.
Letchumy, 43, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mendakwa dia mengalami tekanan mental sejak Jan 2021 hingga pernah mengambil keputusan untuk membunuh diri.
Katanya, selepas dimasukkan ke hospital, dia telah membuat laporan polis dan Jabatan Tenaga Kerja sebanyak lima kali bersama suaminya, S Logeswaran yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat sama.
“Selepas membuat laporan dan aduan, saya dan suami telah diberi surat diberhentikan kerja,” katanya.
Sebelum itu Letchumy berkata, dia dan suaminya telah diberi surat amaran sebanyak dua kali berikutan aduan dibuat kepada pihak kerajaan dan didakwa menjadi dalang membuat protes bersama pekerja lain.
Letchumy berharap KKM akan menyiasat perkara itu dan memberi peluang untuk mereka kembali bekerja kerana mempunyai tanggungan anak yang ramai.