Kenyataan semberono isu kematian tahanan, Hamzah diselar aktivis

Kenyataan semberono isu kematian tahanan, Hamzah diselar aktivis

Pengarah eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira menuduh menteri dalam negeri terbabit meremehkan tragedi itu.

Tahanan di pusat imigresen boleh dirujuk sebagai suspek penjenayah, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa aktivis hak asasi manusia menyelar Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kerana kenyataannya yang disifatkan semberono mengenai laporan kematian di pusat tahanan imigresen.

Pengarah eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira mendakwa menteri terbabit meremehkan tragedi itu, manakala Irene Xavier dari Persatuan Sahabat Wanita Selangor berkata, reaksi itu “tidak berhati perut”.

Alex Ong dari Migrant CARE pula menyoal sama ada Hamzah memahami isu pelanggaran hak asasi manusia terhadap tahanan imigresen.

Bercakap di Putrajaya semalam, Hamzah memperkecilkan laporan kematian di pusat tahanan imigresen dengan berkata, orang ramai tidak harus cepat menuding jari kepada pihak berkuasa.

Beliau berkata: “Jadi kalau kita sudah tangkap orang melakukan kesalahan letak dalam depot kemudian dia mati, kita nak salahkan pada siapa? Sebab orang mati sekarang ini kadang-kadang tengah berjalan dia mati, tidak payah masuk depot pun mati. Jadi tidak timbul isu itu.”

Pereira berkata, Hamzah harus meneliti laporan autopsi dan penemuan koroner sebelum “mengetepikan kematian itu”.

Tambahnya: “Beliau harus bekerjasama dengan masyarakat sivil untuk menangani masalah itu.

“Beliau harus meneliti sama ada tahanan itu mangsa penyeludupan atau pemerdagangan dan mempunyai akses kepada representasi undang-undang di mana mereka ditahan.”

Pereira berkata, mungkin sudah tiba masa untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat penderaan yang didakwa berlaku di pusat tahanan.

Xavier berkata, adalah salah untuk merujuk kesalahan imigresen sebagai kesalahan jenayah.

“Sehingga Jabatan Imigresen mampu bersikap lebih bertanggungjawab terhadap tahanan, kita akan terus melihat insiden kematian yang sepatutnya boleh dielakkan,” katanya.

Ong berkata, beliau tertanya-tanya sama ada Hamzah faham bahawa ia melibatkan isu hak asasi.

“Tahanan ini berhak dilayan secara berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau menggesa Hamzah melawat pusat imigresen untuk melihat sama ada tahanan menderita akibat keadaan sesak dan kurangnya penjagaan kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.