
Duta Besar Malaysia ke Thailand Jojie Samuel berkata, 30 rakyat Malaysia telah mendapatkan bantuan daripada kedutaan di Bangkok dan pejabat konsulat di Songkhla.
Beliau berkata, mangsa disabitkan kesalahan imigresen termasuk tinggal melebihi masa dan masuk secara haram kini ditahan di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) di Mae Sot, barat Thailand yang terletak di sempadan Myanmar.
Beliau berkata, lima lagi rakyat Malaysia telah pulang ke Malaysia kerana memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Kami menjangkakan lebih ramai lagi (mangsa penipuan pekerjaan) dan kami tidak mempunyai jumlah sebenar melainkan ada orang pergi ke sana dan memeriksa,” katanya pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Bangkok.
Jojie berkata, kes pertama seumpama itu dikendalikan kedutaan melibatkan seorang warga Malaysia berusia 20 tahun dari Selangor yang terpedaya dengan tawaran kerja di Thailand yang menjanjikan gaji bulanan yang tinggi antara USD5,000 hingga USD8,000.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Myawaddy di Myanmar dan dipaksa bekerja untuk sindiket itu.
“Mangsa dihantar pulang pada Disember tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Jojie berkata, kebanyakan mangsa penipuan tertarik dengan iklan pekerjaan di Facebook dan Instagram yang menawarkan pendapatan tinggi.
“Kaum Cina Malaysia yang boleh bercakap beberapa bahasa asing menjadi sasaran utama (sindiket ini),” katanya.
Tambahnya, mangsa kebanyakannya penutur bahasa Mandarin ditempatkan di sebuah kompleks yang dikawal ketat dan dipaksa membuat panggilan palsu kepada mangsa di seluruh dunia.
“Mangsa diberi tugas memerangkap warga China di luar negara,” katanya.
“Kami diberitahu bahawa mereka yang mencapai sasaran akan diberi ganjaran manakala bagi yang gagal, akan dihukum termasuk dipukul,” katanya.
Jojie menambah, kebanyakan mangsa atau ahli keluarga mereka mendapatkan bantuan kedutaan dengan mambuat panggilan atau menghantar mesej WhatsApp.
Pegawai kedutaan akan berkunjung ke Mae Sot bagi memeriksa identiti dan status mangsa sebelum memberikan bantuan yang diperlukan.
Beliau juga mengakui pihak berkuasa berdepan cabaran untuk menyelamatkan mangsa kerana dikawal rapi oleh mereka yang bersenjata.
Beliau menegaskan kerjasama dengan semua pihak berkuasa yang terlibat adalah penting bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu, Timbalan Penguasa (Siasatan) Balai Polis Mae Sot, Ekaphon Jindatchak berkata, mangsa penipuan pekerjaan biasanya dibebaskan sindiket di Myawaddy dan mereka akan menyeberang ke Thailand untuk mendapatkan bantuan.
“Polis tempatan (Thailand) akan menangkap mereka kerana memasuki negara secara haram dan atas kesalahan imigresen lain. Mereka akan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya sambil menambah pihak berkuasa kemudiannya akan menghubungi kedutaan berkaitan.