
Subsidi yang tinggi akan meningkatkan beban kewangan negara ketika Malaysia berdepan masalah hutang pada kadar yang mengejutkan dan masalah kelembapan ekonomi.
Pakar ekonomi politik Firdausi Suffian dari UiTM Sabah berkata, jumlah subsidi yang diunjurkan sebanyak RM77.3 bilion, iaitu 9% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara “terlalu tinggi”.
Beliau berkata, jumlah optimum sepatutnya kurang 2% daripada KDNK.

“Secara teorinya, subsidi adalah ‘baik dari segi politik, buruk pada ekonomi’ kerana ia menunjukkan kerajaan akan campur tangan dan membantu rakyat, terutamanya pada masa sukar. Bagaimanapun jika ia terus campur tangan, pasaran tidak akan dapat menyesuaikan diri,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi pakar ekonomi, Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, langkah Putrajaya meneruskan pemberian subsidi tanpa rancangan untuk meningkatkan hasil adalah tidak bertanggungjawab.
“Perbelanjaan kita untuk subsidi menjadi terlalu tinggi kerana kerajaan terus mengumpul subsidi baharu dan meningkatkan kadar subsidi sedia ada.
“Sekarang subsidi makin bertambah, tetapi kerajaan enggan meningkatkan hasil,” katanya kepada FMT.
Pada Sabtu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, subsidi untuk bekalan keperluan merangkumi dua pertiga daripada jumlah keseluruhan subsidi pengguna sebanyak RM77.3 bilion meliputi harga petrol, diesel, minyak masak, tepung, elektrik, dan keperluan lain.
Jumlah yang diunjurkan juga termasuk RM5.8 bilion subsidi elektrik bagi separuh kedua tahun 2022 bagi memastikan tiada kenaikan tarif selepas 1 Julai.
Firdausi berkata, kerajaan mesti merasionalkan dan menyusun semula skim subsidi.

“Kerajaan tidak mampu memberikan subsidi kepada semua orang. Oleh itu ia mesti menyediakan pelan subsidi bersasar hanya kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Barjoyai berkata, pangkalan data bersepadu perlu dibangunkan untuk subsidi bersasar dan bantuan tunai.
Beliau menganggarkan skim bantuan tunai sedia ada, iaitu Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), akan memanfaatkan lebih 8.6 juta orang dan empat juta isi rumah tetapi mempersoalkan sama ada kerajaan pasti kesemua lapan juta penduduk itu memerlukannya.
Beliau turut menggesa kerajaan membangunkan sumber hasil baharu seperti dana wakaf yang menyerupai dana pencen negara Norway, yang melaburkan lebihan hasil petroleum negara.
“Kita juga ada sektor petroleum sendiri (Petronas). Oleh itu kita harus mewujudkan model dana serupa yang boleh meringankan beban kewangan Malaysia,” katanya.