
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 (JKPS) yang ditubuhkan untuk menggerakkan Op Patuh bagi menguatkuasakan PKP itu telah genap setahun pada 25 Jun lalu.
JKPS diterajui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan melibatkan 32 kementerian, jabatan dan agensi, menguatkuasakan arahan dan undang-undang di lapangan dalam usaha pencegahan Covid-19.
“Sepanjang Op Patuh dilaksanakan sehingga 25 Jun lalu, sebanyak 5.55 juta pemeriksaan telah dijalankan. Daripada jumlah itu, sebanyak 13,143 kompaun telah dikeluarkan dan sejumlah 6,383 premis diarahkan tutup,” katanya dalam sidang media selepas majlis apresiasi JKPS.
Hamzah berkata, kerajaan juga memutuskan untuk menamatkan pelantikan pegawai yang diberikan kuasa bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 pada 30 Jun ini.
“Berikutan negara dalam peralihan ke fasa endemik, polis akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk penguatkuasaan SOP dan protokol peralihan endemik menggunakan kuasa perundangan bawah Akta Polis 1967,” katanya.