Mati dalam tahanan tak dapat diduga, jangan salahkan imigresen, kata menteri

Mati dalam tahanan tak dapat diduga, jangan salahkan imigresen, kata menteri

Hamzah Zainudin berkata mustahil menjangkakan berlaku kematian di depot kerana ia bukan perkara dapat diduga.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata jangan terlalu cepat menuding jari kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kematian tahanan. (Gambar Reuters)
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin berkata tidak ada isu tersembunyi di sebalik kematian dilaporkan dalam depot tahanan Jabatan Imigresen (JIM).

Beliau berkata, mereka yang ditahan telah melalui proses undang-undang dan membayangkan pihak tertentu tidak harus bingkas menuding jari kepada pihak berkuasa apabila berlaku kematian di pusat tahanan.

“Saya nak maklumkan kalaulah saya tahu ada orang nak mati jangan dimasukkan dalam depot, maknanya hebatlah saya, begitulah juga dengan pegawai kita.

“Apabila kita tahan maknanya dia melakukan kesalahan. Apabila seseorang yang melakukan kesalahan, dia mesti melalui proses undang-undang yang terpaksa kita gunakannya dan mengikut kaedah yang betul,” katanya pada sidang media majlis apresiasi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS).

Hamzah berkata, mustahil untuk menjangkakan kematian yang berlaku di depot kerana ia bukan perkara dapat diduga dan boleh berlaku di mana saja.

“Jadi, kalau kita sudah tangkap orang melakukan kesalahan letak dalam depot kemudian dia mati, kita nak salahkan pada siapa? Sebab orang mati sekarang ini kadang-kadang tengah berjalan dia mati, tidak payah masuk depot pun mati.

“Jadi, tidak timbul isu itu, isunya dia ditahan atas kesalahan yang dilakukannya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Koalisi Buruh Migran Berdaulat mendedahkan laporan Seperti di Neraka: Kondisi Pusat Tahanan Imigrasi di Sabah.

Kumpulan itu menyediakan laporan selepas menemubual lebih 100 bekas tahanan warga Indonesia yang dihantar pulang ke negara asal mereka.

Koalisi itu juga menjangkakan kadar kematian bagi buruh migran Indonesia yang mengalami penyakit juga bertambah, selain mendakwa 57 tahanan merupakan kanak-kanak berusia bawah lima tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.