
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi mendakwa ramai orang tahu bahawa banyak pertemuan dianjurkan oleh duta besar Malaysia ke Indonesia yang baharu dilantik itu di kediamannya.
“Kenapa pusing 200 darjah? Dia fobia apabila disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ramai saksi hidup.
“Legasi kepahlawanan Pasir Salak memang hebat. Malangnya saksi hidup Pasir Salak moden cepat cair,” katanya di Facebook.
Selepas dipecat sebagai ahli MKT pada Jumaat lalu, dalam sidang media semalam Tajuddin mendesak Ahmad Zahid Hamidi supaya melepaskan jawatan sebagai presiden Umno, selain mendakwa hampir 130 ketua bahagian parti itu sebelum ini mahu beliau berundur.
Beliau turut mendakwa bahawa Zahid mengetuai gerakan menandatangani akuan bersumpah bagi menyokong Anwar sebagai perdana menteri.
Tajuddin yang juga bekas pengerusi Prasarana ditahan SPRM pada 27 Mei 2021 atas dakwaan penyalahgunaan kuasa. Beliau dibebaskan dengan ikat jamin pada hari sama.
Menurut laporan, penahanannya dikaitkan dengan siasatan berhubung pelantikan menantunya dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan.
Mac lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, SPRM mengklasifikasikan kes Tajuddin sebagai “tiada tindakan lanjut” kerana mendapati tiada unsur salah laku di bawah Akta SPRM.
Dalam pada itu, Puad menyelar reaksi Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa terhadap sidang media Tajuddin.
“Suka Annuar dengan sidang media Tajuddin. Dia paling aktif ‘viral dan share’ laporan media, terutamanya portal berhubung sidang media Tajuddin semalam.
“Pada Annuar, itu bola tanggung untuk ‘smash’ Umno. Annuar kata tindakan terhadap Tajuddin akan timbulkan krisis.
“Memang Annuar mahu begitu. Sebab itu dia ‘viral dan share’.”