
Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Jan 2021 membatalkan saman terhadap inspektor polis Hazrul Hizham Ghazali kerana wanita itu tidak dapat mendepositkan bayaran RM70,000 sebagai cagaran kos.
Firma guaman Thomas Philip Advocates and Solicitors berkata, Mahkamah Rayuan mengakas keputusan Mahkamah Tinggi itu semalam dengan tindakan sivil oleh wanita itu ditetapkan untuk perbicaraan penuh di mahkamah sama.
Pengurusan kes ditetapkan pada 15 Julai.
“Prosiding jenayah sedang dijalankan terhadap Hazrul yang berdepan pelbagai tuduhan rogol dan mencabul kehormatan di Mahkamah Sesyen Klang, dengan tarikh seterusnya dijadualkan pada Julai tahun ini,” kata firma itu dalam kenyataan.
Wanita Mongolia itu, salah seorang daripada dua wanita berusia antara 20 dan 36 tahun yang ditahan di satu sekatan jalan raya, memfailkan saman pada April 2020 bagi mendapatkan pengisytiharan terhadap Hazrul atas penahanan yang menyalahi undang-undang dan serangan seksual semasa perintah kawalan pergerakan (PKP).
Bekas inspektor di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya itu didakwa mengikut Seksyen 13(f) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran kerana menyalahgunakan kuasa untuk mengeksploitasi wanita terbabit.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 10 dan 11 April di sebuah hotel di Petaling Jaya.
Hazrul berdepan hukuman penjara antara tiga dan 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.