Bukan Umno saja mahu Parlimen dibubar, kata Zahid

Bukan Umno saja mahu Parlimen dibubar, kata Zahid

Presiden Umno berkata, pendirian sama itu turut dinyatakan bekas pengerusi ERC, Abdul Rashid Abdul Rahman.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian Abdul Rashid Abdul Rahman yang mahu Parlimen dibubarkan perlu diambil kira berdasarkan pengalamannya selama 30 tahun dalam SPR.
PETALING JAYA:
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukan partinya sahaja yang mahu Parlimen dibubarkan kerana pendirian sama turut dinyatakan bekas pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Abdul Rashid Abdul Rahman.

Kata Zahid, pendirian Rashid itu perlu diambil kira berdasarkan pengalamannya selama 30 tahun dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Beliau juga bekas pengerusi SPR, menyatakan mandat sah demokrasi perlu dikembalikan.

“Kerajaan pula tidak stabil kerana terdapat pelbagai watak dan parti dan ini tidak baik untuk negara. Katanya lagi, ekonomi semakin buruk dan pelabur pula lari,” kata Zahid di Facebook.

Memetik laporan media, Rashid berkata, pilihan raya umum ke-15 (PRU15) perlu dilaksanakan segera bagi menggantikan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang tidak mempunyai mandat untuk memerintah.

Rashid mendakwa kerajaan yang dibentuk melalui muslihat politik dalam keadaan tidak stabil serta tidak demokratik, walaupun sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Malah ahli Bersatu itu berkata, kerajaan berdepan gesaan dari dalam Umno sendiri agar PRU15 diadakan segera, namun Ismail yang juga naib presiden parti itu meminta mereka bersabar untuk memberi ruang kepada ekonomi negara pulih terlebih dahulu.

Umno berulang kali bertegas mahu PRU15 disegerakan kerana mendakwa kerajaan yang ada sekarang sangat rapuh sehingga membimbangkan pelabur untuk melabur.

Semasa Konvensyen BN sempena sambutan ulang tahun ke-48 gabungan politik itu 2 Jun lalu, Ismail berkata, beliau tidak akan melewatkan walau sesaat pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15, sekiranya mereka sudah bersedia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.